Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Thursday, 15 November 2018

RESEPI BIHUN SUP AYAM DAN SAMBAL KICAP YANG SEDAP DAN MUDAH

Hi..

Balik kampung baru-baru ni kakak saya buat Bihun Sup Ayam. Buat satu periuk besar , tak sampai satu hari dah habis licin. Memang kaki makan betul kitaorang ni. Makanan berkuah dan bersup macam ni memang kegemaran kami sekeluarga. Ditambah pulak dengan sambal kicapnya yang menyengat dan buat korang pecah peluh.




Kalau yang kering dan tak berkuah tu kurang layan sikit sebab tak puas makan.


Ni lah bihun sup yang dah siap dimasak. Sedia untuk di makan.. Tapi sayang nya cuma sempat ambik satu gambar ni saja. Bila dah ramai-ramai berkumpul , makan sama-sama kena pantas la mencedok nya.Kalau tidak telan air liur je la nanti..ahahha..

Bihun sup ni tak gunakan minyak langsung tau. Sesuai la bagi sesiapa yang tak suka makanan berminyak. Lagipun kalau berminyak rasa muak nak makan banyak-banyak..kan? Oleh sebab sedap dan mudah dimasak , Bihun Sup Ayam ni haruslah masuk ke blog dianarashid.com.

Untuk resepi ni korang boleh guna 1 ekor ayam. Kalau guna rangka ayam saja , guna 3 ekor. Nak hilangkan hanyir ayam  korang boleh guna tepung gandum. LUmur ayam dengan tepung gandum dan biarkan selama 20 minit.

Kemudian bilas dan bersihkan sampai hilang sisa tepung. Sup ayam tak kan berbau hanyir.

Sesiapa yang nak mencuba resepi ni silakan ..

Resepi Bihun Sup Ayam yang sedap dan Mudah 

Bahan-Bahan

2 bungkus bihun ( celur dengan air panas dan tos kan.)

1 ekor ayam atau 3 ekor rangka ayam (potong ikut saiz yang korang suka dan bersihkan )
1 bungkus sub bunjut
2 inci lengkuas
2 inci halia
1 kuib ayam (tak nak letak pun tak pe)
Daun bawang
Daun sup
1 sudu kecil lada hitam
1sudu besar rempah kurma dibacuh dengan 1/2 cawan air
Garam secukup rasa

*Bahan kisar
7-8 ulas Bawang putih
10 biji bawang merah
5 tangkai cili padi
1 batang serai

*Bahan sampingan
Bawang Goreng
Fish ball dan Fish cake yang sudah di rebus dan dihiris nipis (tak nak letak pun tak pe)
Sambal Kicap




Cara-caranya:

Rebus ayam bersama halia dan lengkuas di dalam periuk bersama dengan 3 - 4 mangkuk air. Masuk kan sup bunjut. Agak-agak la kuah sup tu. Sup kena banyak air. Tak boleh kering.

Rebus sampai ayam keluar minyak dan lembut. Kemudian masuk kan bahan yang sudah di kisar halus.

Biarkan sehingga mendidih dan terus masuk kan rempah kurma, lada hitam dan kuib ayam.

masak lagi hingga mendidih dan masuk kan Garam, daun bawang dan daun sup yang sudah dihiris.

Tutup api dan periuk agar kuah sup sebati dengan daun bawang dan daun sup.


Resepi Sambal Kicap sedap

Bahan-bahan
10 tangkai Cili padi
3 ulas Bawang Putih
Garam secukup rasa
2 sudu besar Perahan limau
1 cawan Kicap manis

Cara-Caranya :

Kisar semua bahan hingga halus. Sambak kicap mesti lah pekat. Jangan masuk kan air ke dalam pengisar.

Kalau susah nak kisar tumbuk je bahan kering atau boleh guna manual chopper. Kemudian baru masuk kan air perahan limau dan kicap manis.


Kemudian boleh la dihidang kan.. Letak bihun, bawang goreng, fish ball dan fish cake , sambal kicap dan last sekali cedok kan kuah nya..

Selamat mencuba..





Saturday, 27 October 2018

PERTAMA KALI MAKAN SIPUT KEMUDI : MACAM MANA CARA CUCI SIPUT KEMUDI

Assalamualaikum..


Credit gambar dari blog : diariwanitacergas.


Ni kali pertama saya makan Siput Kemudi. Ada juga orang panggil ni Kepah Peha Ayam. Nampak macam peha ayam ke??hahah

Memang selalu nampak orang jual tepi jalan tapi tak pernah beli sebab tak pandai nak cuci Siput Kemudi. Tak pandai nak masak dan takut kalau tak sedap.



Tapi kelmarin suami bawak balik Siput Kemudi yang dah siap buang kulit. Sebenarnya cara nak cuci Siput Kemudi senang je. Guna pisau untuk buka cengkerang nya yang besar tu.Lepas tu keluar kan lah sisi dia.



Tapi jangan ingat dah boleh masak tau. Korang kena bersihkan dulu Siput Kemudi ni. Kalau tak dibersihkan dan di cuci betul-betul bila makan nanti korang akan sakit perut.

Dalam bahagian yang warna kuning/oren pada siput ni ada satu urat jernih yang korang kena buang. Urat tu la yang menyebabkan sakit perut bila makan Siput Kemudi ni.

Tak susah pun nak buang nya cuma kadang-kadang korang tak jumpa urat tu. Bila tak jumpa memang hancur la siput tu jawab nya.hahhaah..


Sebenarnya saya pun tak pasti ini ke urat yang orang  maksud kan tu. (Rujuk gambar atas) .. Tapi yang saya belek-belek dalam siput ni memang ini je urat panjang dalam Siput Kemudi tu yang saya jumpa. Ini bukan cacing tau ..Nnati ada pulak yang sampai takut nak makan.hahah

Alhamdulillah lepas masak memang tak de siapa yang sakit perut lepas siput ni di masak rendang. jadi betul la ini urat panjang dalam siput Kemudi yang orang kata boleh buat sakit perut tu..

Boleh tak main teka-teka gitu??hahahah

Siput Kemudi ni korang boleh buat masak apa? .. Boleh goreng kunyit, boleh buat sambal tumis, boleh buat rendang, masak lemak cili padi. Memang sedap dan ada rasa macam daging pun ada.



Kalau kita makan kerang bahagian yang hitam2 tu , ada rasa kerang..kan?? Tapi Siput Kemudi ni memang tak de rasa pahit ke apa.. macam daging la lebih kurang. Terutamanya yang bagain putih yang besar tu.

Liat-liat macam daging. Sebelum masak korang boleh belah dua. Tak nak belah pun tak pe.

Tapi dia tak la macam daging liat..Dia cuma rasa kenyal yang sedap.

Tak sempat nak ambik gambar rendang Siput Kemudi ni. sebab terlupa.Hahah. Maklum la..saya ni kalau benda sedap depan mata semuanya lupa.

Bye!





Thursday, 11 October 2018

RESEPI DAGING MASAK KICAP PALING SEDAP DAN MUDAH

RESEPI DAGING MASAK KICAP PALING SEDAP DAN MUDAH




Daging masak kicap je hari ni..Pastu goreng ayam.. Masakan pertama yang saya belajar dari mak ialah daging masak kicap. Masa tu umur 14 kot. Sebelum tu masak main cincai2 je.

Agaknya mak tak lalu nak telan jadi dia ajar la cara betul masak Daging kicap ni. Hahaha.. Sejak tu ini je la cara saya masak daging masak kicap.

Bila dah kawen saya masak kan daging masak kicap untuk suami.Dia kata ini daging masak kicap paling sedap dia pernah makan. Dah 13 tahun kawen dia tak pernah jemu kot. Seminggu sekali menu ni mesti ada.

Jom saya ajarkan macam mana nak masak Daging Masak Kicap paling sedap dan mudah ni. Untuk resepi ni saya buat untuk hidang 4 orang makan saja ye. Kalau nak buat lebih boleh tambah bahan2 nya.




RESEPI DAGING MASAK KICAP PALING SEDAP DAN MUDAH

Bahan-bahan:

Bahan A
300g daging
1 senduk besar kicap manis.

Bahan B
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan C
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
10-15 biji lada hitam
1/2 susu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih

3 sudu besar minyak masak

1 biji bawang besar
4 biji cili besar atau cili padi kalau suka pedas
daun sup




Cara-caranya:

1- Potong daging nipis-nipis. Besihkan dan tos kan . Kemudian masuk kan kicap dalam daging .ketepikan.

2. Kisar bahan B dan masuk kan dalam Bahan A

3. tumbuk bahan C sampai halus. Masuk kan dalam bahan A tadi. perap selama 15-20 minit

4.Panas kan minyak .Kemudian masuk kan dagiing yang diperap tadi.

5. masuk kan 1 cawan kecil air. masak dengan api perlahan sampai daging lembut.

6.masuk kan garam .Kalau tak suka masin tak payah garam sebab kicap pun dah cukup rasa.

7. Masuk kan bawang besar yang dihiris tebal, cili dan daun sup yang dah di potong halus.

8. sedia untuk di hidangkan..


Wednesday, 10 October 2018

RESEPI KEK COKLAT PALING SEDAP DAN MESTI JADI YANG SESUAI UNTUK BUAT JUAL

Assalamualaikum..



Hari ni nak share resepi kek coklat paling sedap dan mesti jadi. Setakat ni saya buat kek coklat guna resepi ni memang mesti akan jadi.Tak pernah lagi kek coklat tak jadi bila guna resepi ni.

Kek coklat memang kegemaran ramai. Kalau saya pun bila nak balas mangkuk tingkat jiran2 tapi tak de idea nak masak apa, mesti saya kan bagi ke coklat je. Mesti orang suka dan seronok bila makan kek coklat.

Korang boleh guna resepi saya ni untuk berniaga ke, atau untuk buat jamu anak2. Saya halal kan. Semoga dapat membantu korang. Saya nak bagi wang ringgit, saya pun bukan nya orang ada-ada. Jadi harapnya perkongsian macam ni mampu bagi manfaat pada orang lain.






Resepi kek coklat yang sedap dan mesti jadi

Bahan-bahan


Bahan A
150g tepung gandum
1sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 sudu besar serbuk koko

Bahan B
2 biji telur saiz A
150g gula castor

1/2 sudu kecil esen vanila

Bahan C
125g susu full cream
125g minyak jagung
2 sudu besar susu pekat

Cara-Caranya:

Panas kan oven suhu 180 
Guna loyang petak saiz 8 inci. Letak baking paper dan sapu butter kat atas kertas dan tepi loyang. Ketepikan..

1- Campur semua bahan A dan ayak. Ketepikan..

2- Pukul telur dan gula castor. Pukul sampai telur jadi kaler cerah atau putih. Jangan terlebih pukul telur .Nanti kek mendap kat tengah2.

Kalau guna mixer cukup pukul 1-2 minit saja. Kalau guna whisk dalam 2-3 minit sudah la..

3-  Masuk kan esen vanila. Dan kacau guna senduk.

4- Masuk kan susu full cream, minyak dan susu pekat. kacau sekejap untuk sebatikan dia. kacau guna senduk saja.

5- Masuk kan tepung sikit demi sikit dan kacau guna senduk .Buat sampai habis tepung.

6- masuk kan adunan dalam loyang dan bakar selama 60 minit dengan suhu 180.

Kalau cucuk guna lidi dan kek masih melekat kat lidi, tambah lagi masa . Kita punya oven masing2 tak sama.

Lepas keluarkan kek dari oven tunggu sampai kek sejuk. Terbalik kan kek atas papan kek atau atas bekas yang korang suka.

Kemudian boleh la salut kek dengan coklat ganache.



cara buat coklat ganache:

Bahan-bahan nya:
1 kotak kecil whipping cream
125g coklat  compound
1 sudu besar butter

Cara-caranya:

Potong coklat compound kecil2 supaya dia senang cair. Nak lebih mudah boleh beli coklat yang jenis bulat2 tu. Tak payah nak potong2 dah.

Masuk kan whipping cream dalam satu bekas dan masak dengan api perlahan.
Bila whipping cream dan berasap terus tutup api dan masuk kan coklat.

Jangan masak whipping cream sampai mendidih sebab kita cuma nak whipping cream ni panas je..

Kacau coklat dan whipping cream sampai coklat cair, masuk kan butter. kacau lagi sampai sebati,.




Kalau ikut pengalaman saya 1 kotak whipping cream yang kecil tu boleh guna untuk 2-3 biji kek.
Macam kek gambar atas tu saya guna ganache sikit je sebab anak saya ni kalau jumpa coklat lain macam jadinya.

Jadi letak nipis2 je la. Kalau untuk jual kena bagi tebal sikit dan letak coklat ganache banyak. kena meleleh  kebawah baru orang suka.


Whipping cream yang kotak kecil tau..Harga nya dalam rm7 lebih. Kalau nak buat untuk bisnes baik beli yang saiz besar.Lebih jimat.

Selamat mencuba..Kalau dah buat nanti bagitau ye..Boleh hantar gambar kat facebook saya.. :)









Monday, 3 September 2018

CUCUR JEJARI KETAM YANG SEDAP DAN RINGKAS UNTUK SARAPAN PAGI

Assalamualaikum..


Pagi-pagi buka peti sejuk lepas tu mula la pening kepala tak tahu nak masak apa.. Nampak ada crab stick dengan nuget je.. hahaha

Tu baru untuk sarapan pagi.. Nanti nak masak tengahari pun pening kepalaa, nak masak untuk minum petang pun peing kepala, nak masak untuk makan malam pun pening kepala jugak..Ha!! Susah tak jadi surirumah sepenuh masa ni..4 kali sehari wajib pening kepala. Tu belum tambah lagi dengan masalah-masalah lain.. hahahah..

Kalau untuk saya dan suami ni senang je.,makan je la apa yang ada.Tapi untuk anak-anak ni bukan boleh main masak je..Diaorang kan cerewet sikit bab makan jadi kita buat roti gulung sosej dan untuk saya dan suami terhidanglah cucur crab stick yang sedap menawan ni.

Tengok gambar nampak sedap je..kan??tapi sebenarnya memang sedap sangat tau.Tambah pulak saya letak macam-macam bahan dalam cucur tu memang meriah sungguh la warna nya.

Crab stick tu dah seminggu lebih dalam peti sejuk. Anak-anak memang tak suka tu. .Saya beli biasanya untuk saya makan dengan nasi bila dah jemu dengan ayam.Hahahha..Sedap tau makan crab stick bakar dengan nasik.Nanti cuba ok.

hari ni saya kongsikan cara dan resepi cucur crab stick yang selalu saya buat ni.Rasanya memang sedap.Untuk sebungkus cran stick tu boleh buat dalam 4 cawan tepung. Jom kita tengok resepinya.


Resepi Cucur Jejari ketam yang sedap.

4 cawan tepung gandum
1 bungkus crab stick
2 tangkai daun sup
1/2 biji lobak
2 tangkai cili padi (kalau tak nak pedas tak payah letak)
 garam secukup rasa
1 biji telur
air sejuk 2 cawan
Minyak untuk menggoreng

Cara-Caranya

 Panaskan minyak dalam kuali..

1- potong setiap crab stick kepada 4 bahagian.Kita tak mau dia kecik sangat atau besar sangat.Nak yang biasa2 je.. Potong 3 pun ok je..

2- lobak di potong dadu dan daun sup di hiris.

3- masuk kan semua bahan kedalam tepung termasuk garam.

4- masuk kan telur dan air kedalam tepung dan gaul sampai sebati. Jangan hancur kan jejari ketam tu.



5- Kemudian bila minyak dah panas kita goreng la cucur tu.. Api jangan kuat sangat..Nanati hangus siapa nak makan..hahahah.. 

Tambah2 ada telur tu memang tak payah masak guna api kuat pun..Buka api sederhana je..Nnati cucur jadi cantik je kaler dia..


Nampak tak betapa indahnya cucur kita ni??Cantik je kaler dia..kan??Tak payah nak goreng sampai kaler hitam ke , perang ke..Kaler gini lebih menyelerakan..Giteeeewww..  

Boleh makan cicah dengan sos atau makan gitu je.. Boleh bagi jiran2 jugak..sedap tau..


sekian..

Monday, 27 August 2018

RESEPI PULUT KUNING YANG PALING SEDAP SESUAI UNTUK BUAT BERNIAGA

Assalamualaikum..

Raya haji yang lepas mak saya ada buatkan pulut . Cadangnya nak buat pulut kuning tapi terlupa nak rendam pulut tu dengan kunyit. Jadi dia kata buat je la Pulut Aqhon.. Saya pun tak tau nak eja cemana..Tau sebut je la..hahahah..

Perbezaan pulut kuning dan pulut aqhon tu cuma, pulut kuning warna kuning dan berbau kunyit sikit tapi pulut aqhon tu warna putih.Dia cuma di asun dengan santan selepas di kukus. Mungkin orang lain sebut nama yang lain..kan??

Pulut aqhon tu mak saya suruh buat sebab nak raikan harijadi adik dia ..Iaitu makngah saya ni..



Nampak tak pulut dia tu.. Saja je hias macam tu .. siap letak telur dua biji.. Sebab mak saudara saya ni gila2 macam anak-anak saudara nya jugak.. hahah.. Jadi kita hias pun style giler-giler je la..

Oleh sebab hari tu tak dapat buat pulut kuning jadi hari last raya haji tu suami minta buat kan pulut kuning. Saja la dia tu nak makan pulut kuning pulak. Kebetulan pulut pun banyak. Jadi kita buat la lebih sikit untuk sedekah kat jiran sebelah.

Kawan kan pulak dengan gulai daging. Daging korban ada banyak jadi nak bagi jiran pun merasa rezeki yang datang tu , siap je pulut kuning, gulai daging panas-panas terus hantar kat jiran sebelah.

Harap menepati citarasa la .. Ikut kan tekak saya ni, macam dah sedap sangat pulut kuning saya ni tau. Hahahha

Mengukus pulut ni mudah je sebab pulut tu saya rendam semalaman. Bila kukus pun tak ambik masa lama. 15 minit dah siap kukus . cantik pulutnya.. Tidak la kembang sangat sampai lembik dan pulut tu lembut.

Kalau kukus sampai pulut kembang nanti lepas pulut masak kita nak letak santan. Takut dia jadi hancur masa di adun dengan santan .. tak cantik la.kan??



Sebelum ni saya pernah buat pulut kuning dengan cara tanak pulut macam nasi. Tapi rasanya tak berapa sedap dan pulut tak cantik lepas dia adun dengan santan. Nak kena kukus juga baru cantik.

Bagi yang nak belajar buat pulut kuning boleh la ikut resepi saya ni. Nak buat berniaga pun sesuai sangat. Silakan kalau nak buat berniaga. Kos nya juga kecil je.

Kalau tak mau buat gulai daging boleh juga buat gulai ayam, gulai telur atau pun rendang. 
Jom kita tengok resepi Pulut Kuning Sedap dan Mudah.


Bahan-bahan untuk membuat Pulut Kuning:

3 cawan beras pulut - Rendam  semalaman dengan air yang di campur 1 sudu serbuk kunyit

1 cawan santan pekat di campur dengan 1/2 sudu garam halus. - Masak atas api perlahan..kacau sentiasa sampai sampai berasap atau sedikit berbuih. 

1 helai daun pandan

Bahan-bahan untuk membuat gulai daging

1/2 kilo daging

2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
3 biji ubi kentang (potong 4)
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 biji cili besar
1 tangkai daun kari

3 sudu besar rempah kari daging
1 cawan santan pekat + 1 mangkuk air.
Garam secukup rasa
1 senduk minyak masak
1 mangkuk air.

Cara-cara membuat Pulut Kuning

1- Panas kan periuk kukus. (letak 2 mangkuk air dalam periuk kukus)

2- tos beras pulut dan masuk kan beras pulut ke dalam loyang pengukus .. ratakan pulut ..Letak Daun pandan yang dah disimpul ke dalam air pengukus

3- selepas pengukus dah panas, letak bekas loyang pengukus yang ada beras pulut tadi dalam pengukus.

4- Kukus selama 15-25 minit .(sementara tunggu pulut siap boleh mula buat gulai daging -resepi di bawah)

5- selepas pulut masak , terus masuk kan pulut ke dalam bekas yang lebih besar.

6- Tuang santan sedikit demi sedikit ke dalam beras pulut. Sambil tu gunakan belakang senduk untuk meratakan santan pada pulut. buat sampau santan habis dan sebati dengan pulut tu.

Jangan tekan pulut terlalu kuat sebab kita tak nak pulut tu  hancur.

Kemudian letak dalam bekas cantik2 dan tutup.


Resepi Gulai daging

Potong daging kecil-kecil. Bersihkan dan tos..

Kisar bawang besar, bawang putih dan halia.

Panaskan minyak. Masuk kan daun kari,bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih.

Masuk kan bahan kisar..Tumis sampai naik bau.

Masuk kan rempah daging bersama daging dan ubi kentang dan secawan air.

Masak sampai rempah pecah minyak.

Masuk kan santan ..

Masuk kan cili besar dan garam.

sedia untuk dihidangkan.


Mudah saja..kan??Rasanya pun sedap..Ada orang buat pulut kuning guna santan yang tak masak .Tapi kalau tak masak kita takut nanti pulut cepat basi.kalau untuk mkan sendiri ok la guna santan yang tak payah di masak.

Tapi terpulang la pada citarasa masing-masing.Selamat mencuba..





Wednesday, 15 August 2018

RESEPI CEMPEDAK GORENG RANGUP DAN SEDAP


Assalamualaikum... Hye semua..

Musim cempedak dah kembali.Sejak 2,3 minggu ni tak putus-putus cempedak kat rumah ni. Saya ni tak boleh makan cempedak banyak-banyak.Cukup seulas dua je.Kalau makan banyak-banyak memang tak bangun la nanti..Sakit kepala nak pitam semua nya ada.

Bila dah banyak  buah cempedak   tapi tuan rumah tak makan kita pun sedekah je la kat orang.nak sedekah gitu je tak syok pulak. Jadi kita goreng je la dulu. Orang yang nak makan pun tak payah susah-susah nak kupas dan nak kena goreng bagai.

Leceh sikit cempedak ni sebab ada getah jadi kita tak nak susahkan orang kita pun goreng siap-siap dan bagi orang makan. Dah siap masak sedekah lah kat jiran , bagi suami bawak ke tempat kerja dan jemput kawan Maisara datang rumah makan cempedak goreng,

Last-last habis jugak cempedak tu.Saya ni bukan tak suka makan cempedak goreng.Bila sekali makan terus tak mau berhenti mana la tak sakit-sakit..hahha.

Nak buat cemana dah saya masak sedap..Sendiri masak semdiri yang tergoda.kahkahkah..

Bagi yang nak rasa cemana sedapnya cempedak goreng yang saya buat ni apa kata korang  ikut resepi yang saya sertakan kat bawah ni.Jom cuba!!




Sorry la..gambar macam kelam sikit...maklumla..musim jerebu...

Bahan_bahan:

1 biji cempedak saiz kecil (kalau saiz cempedak korang tu besar ganda kan je sukatan bahan ni.)
1 cawan kecil tepung gandum
1 cawan kecil tepung beras
1sudu besar majerin 
secubit garam
sedikit pewarna kuning atau serbuk kunyit
1 1/2 cawan air
2 cawan besar  minyak untuk menggoreng. 

Cara-Caranya:

1- Panaskan minyak dalam kuali.

2- Campurkan tepung beras, tepung gandum , serbuk kunyit, majerin , garam dan air. 

3- Kacau sebati.Jangan cair sangat tau.Agak-agak tepung tu boleh melekat kat cempedak dah ok la.

4- Masuk kan ulas cempedak kedalam aduan tadi.gaul semuanya sampai semua ulas cempedak diselaputi tepung.

5- Bila minyak dah panas boleh la goreng kan cempedak. Pastikan cempedak tu tenggelam dalam minyak. Jadi minyak tak boleh sikit tau. 

Bila dah siap boleh la dihidangkan..




Macam ni lah rupa nya cempedak yang dah siap digoreng.Memang rangup dan sedap. Sebiji macam yang dijual dikedai-kedai tu.



Gambar kelam tapi rasa mengancam tau...hahhya


 Adunan ni juga boleh korang gunakan untuk buat pisang goreng atau ubi keledek goreng. Selamat mencuba ..


sekian..

Monday, 23 July 2018

RESEPI ROTI YANG LEMBUT MUDAH DAN SEDAP- ROTI SOSEJ DAN ROTI AYAM


Assalamualaikum..

Ini entah kali ke berapa buat roti..Tapi last buat roti tahun lepas kot..hahahah.. Punya la lama dah tak buat tapi kali ni tergerak hati nak buat sebab anak tengah suka roti ikan bilis.Hari2 beli roti ikan bilis lama2 ibu pun rasa baik la ibu nya buat,




Mesti anak-anak puas makan.Roti buat sendiir tu lebih bagus sebab kita tak letak bahan pengawet pun.Bukan setakat ikan bilism ikan jaws pun kita boleh letak.hahah

Tapi bila dah siap uli doh anak-anak kata tak mau roti ikan bilis..Nampak sangat dah jemu..kan??Diaorang nak roti letak sosej  atau ayam je..Nak buat macam pizza tu..Katanya tak mau letak inti dalam roti..

Giteeeeww..banyak syarat nya tu.Tapi sebab nak bagi anak makan roti tetap jugak la kita buat.



Dengan kesabaran dan kecekalan yang tinggi kita pun buat la roti macam yang diaorang nak. Buat roti ni , bahagian yang susahnya cuma part menguli je..tapi kalau tak larat uli sikit2 pun tak pe la kalau setakat nak jamu tekak sendiri..

bukan nya senang tau menguli roti  walaupun cara nya nampak mudah dan bahan pun ringkas2 je..
Kalau ada mesin memang untung sangat la..Kita goyang kaki je depan tv roti dah siap diuli..tunggu dibentuk dan di bakar je.

Tapi roti yang saya buat kali ni memang tak uli lama sebab saya ni tak sihat minggu ni.Batuk2 dan sakit kepala meyerang.Uli roti pun tak sampai 5 minit.

Walaupun uli tak lama tali roti tu naik cantik, lembut dan gebu jugak jadinya.Alhamdulillah.. 


Nampak macam pucat je roti ni kan??sebab tak diletak kan kuning telur kat atas nya;;Kalau letak kuning telur jadi cantik la perang2 kaler dia..Yang merah2 tu sos je..Tapi ni dah cukup masak dah..Jom saya ajarkan cara buat roti ni..Pakar-pakar buat roti jangan kecam pulak ye kalau cara kita tak sama..

Saya ni kalau buat apa2 pun cari cara paling mudah je...

Bahan-Bahan


Bahan A
11g Yis
2 sudu susu pekat
1 biji telur
250ml air


Bahan B
450g tepung gandum
2 sudu besar susu tepung
2 sudu besar gula kastor
2 sudu besar majerin


topping
Sosej di botol bulat2
Isi ayam /bawang di hiris nipis
Aonari seawed
sos cili
Mayonis



Cara-Caranya

1- Campur semua bahan A dalam satu cawan .Biarkan selama 20 minit.

2- Dalam satu bekas besar masuk kan semua bahan B. Gaul guna hujung jari saja sampai jadi serbuk.Tak mau adunan tu berketul tau..

3- Masuk kan bahan A tadi ke dalam tepung ... uli sampai sebati dan jadi doh.Kalau doh melekit sikit tak pe..jangan risau..nanti dia ok je..

4- Uli sampai 10-15 minit..(saya uli 5 minit je..) Kemudian tutup dan biar je dia berehat selama 1 jam .Lagi bagus kalau tak tempat yang tak de angin dan agak panas..Nanti cepat je doh kembang.

5- cukup satu jam , tumbuk2 sikit dok tu supaya angin dia keluar. kemudian uli sikit lagi dalam 5 minit..Bahagi-bahagi kan doh ikut saiz yang  kita nak.

6- Panas kan Oven... - Doh tu dibentuk kan bulat je dan tekan sikit bagi leper.kemudian letak la topping nya.terserah nak letak apa pun..Korang nak buat bentuk lain boleh je..

7-kalau nak letak sosej sebatang dan lilit doh keliling sosej pun boleh.

8- Sapu loyang dengan majerin dan kemudian letak la roti yang dah korang bentuk kan tadi.Biar je roti naik kembang lagi sebelum di bakar.

9- Bila roti dah naik cantik, oven pun dah cukup panas boleh la masuk kan roti dalam oven.Bakar selama 30 minit suhu 200.

10- minit ke 15 keluarkan roti dan sapu dengan kuning telur. Masuk kan semula dalam oven. Bila dah masak boleh terus keluarkan dan makan..




Roti ni sangat sedap kalau di makan panas-panas..sebab tu la bila beli makan sikit je..tapi kalau buat sendiri makan 4,5 biji pun tak sedar..

kalau topping tu macam2 benda lain lagi korang boleh buat..Boleh letak cheese, daging cincang, serunding dan macam2 lagi..Boleh juga buat roti yang ada inti dalam nya.Letak kaya , jem atau sambal .

Buat roti ni korang kena kreatif sebab tak susah pun sebenarnya nak bagi dia sedap..

selamat mencuba..

Monday, 2 July 2018

RESEPI BROWNIES COOKIES YANG SEDAP DAN RANGUP

Memang dah lama sangat teringin nak buat brownies cookies ni.Tapi sebab saya tak de silicone macaron mat ni jadi rasa takut nak buat.Takut tak jadi.heheh.. Nak buat atas kertas rasa tak yakin je.Alasan banyak sangat ni..kan??ahahha

Tapi baru-baru ni pergi bakery shop nampak la macaron mat ni.Harganya pun tak mahal.Cuma rm12 je  saiz kecil. Lepas beli baru la rasa semangat nak buat brownies cookies.

Last2 nampak satu resepi di twitter dari NanaJerk.. Nampak mudah dan senang faham resepi yang dia ajar.Saya memang suka ambil resepi-resepi dari beliau ni.Semua resepi yang saya ambil dari dia semuanya sedap2 dan menjadi. kalau korang tak nak buat pun korang boleh beli je kek dan biskut kat dia..sedap dan murah ..



Ini brownies cookies yang saya buat menggunakan resepi dari nanajerk. Brownies cookies ni leceh sikit nak membuatnya.Ada pantang larang nya tau.

Yang pertama adunan nya ni tak boleh terdedah kena angin.Maknanya lepas bancuh terus kena piping atas macaron mat dan bakar. kalau ada lebihan dalam piping bag atau bekas lain korang kena tutup rapat supaya angin tak masuk.

kalau tidak tak kan dapat kedutan kat atas brownies cookies ni. Contohnya macam gambar kat atas sekali tu, ianya adalah adunan yang kali kedua di bakar.Bayangkan yang kali ke 3 dan ke 4 cemana rupanya..kan??memang langsung tak de kedut nya dah.

Tapi bakar yang memula sekali jadi cantik kedut nya.Memang sempurna sangat.Bermakna kalau oven korang kecik macam oven saya baik la  korang bancuh sikit2 je.lepas tu bakar.Nak bakar yang kali kedua , korang bancuh lain..Baru la jadi cantik macam gambar kat bawah ni.

Tapi kalau oven korang besar dan boleh pakai macaron mat yang besar sekali bakar dah boleh dapat 100 keping memang cantik la brownies nya.

Ni yang buat tak sabar2 nak beli oven besar ni.Kalau saya beli oven besar nanti boleh la buka order.heheh.

Biskut ni kalau korang nak simpan kena susun cantik2 tau.Jangan terhentak-hentak sebab kedutnya tu mudah tanggal.Tapi rasanya tetap sedap.

Satu lagi yang korang kena ingat , selepas keluarkan dari oven kena sejuk kan dulu brownies cookis ni.jangan gatal2 nak alihkan dia dari macaron mat tu.Biar dia sejuk atas macaron mat tu je.Bila dah sejuk baru lah dia jadi keras dan rangup



Nampak tak betapa cerewetnya brownies cookies ni.jadi korang kalau malas nak buat baik beli je la.hahahha.. Jangan merungut tau dengan harganya yang memang sedikit mahal sebab nak membuatnya pun banyak pantang larang.

Ok lah..cerita panjang2 tapi tak kongsi resepi tak guna jugak.Tapi awal2 nak pesan biskut ni kalau korang nak buat kena pakai mixer. kalau tidak kerasa kejung la tangan nak pukul telur sampai kembang..

Jom kita tengok resepi membuat brownies cookies yang sedap dan rangup.Adunan ni untuk 140 biji brownies cookies. Sukatan kena tepat dan kalau rasa bahan tak cukup jangan buat Ok..tunggu bahan dah ada semua baru buat..

Ok..Jom tengok resepi..Nak buat biskut ni kena buat cepat2 tau..tak boleh lambat-lambat Termenung main fb, ambik gambar masuk insta...Tak boleh..tak boleh..kena cepat. Kita tak nak chocolate tu ada dalam room temperature lama sangat..Kata nana.. 

SO SEBELUM MULA SILA TIMBANG BAHAN-BAHAN DI BAWAH  SIAP-SIAP.


Bahan A 
200g dark chocolate
125g butter

Bahan B
130g tepung gandum
1 sudu kecil Baking powder
3 sudu besar serbuk Coco

Bahan c
2 biji Telur saiz A
150g gula castor
100g brown sugar


Cara-Caranya:

Panaskan Oven dulu.

Ambik satu bekas lain , kita ayak bahan B..ketepikan..

Cairkan bahan A. guna kaedah double boil..

Ambik bekas lain jugak , pukul bahan c selama 5 minit.Jangan kurang jangan lebih.

Cukup 5 minit matikan mixer dan terus masuk kan coklat yang dah cair tadi.kacau sikit bagi sebati..bagi sebati je tau..tak payah guna mixer pun..kacau guna senduk.

Kermudian masuk kan bahan B yang dha dia ayak tadi.kacau sebati guna senduk je.

kemudian cepat2 masuk kan dalam piping bag. dan ikat bahagian atas,supaya angin tak masuk.

Kalau ada lebih dalam mangkuk tu, tutup rapat adunan ni ye.Jangan bagi kena angin.

lepas tu  potong hujung paiping bag dan mula picit adunan atas macaron mat. Picit sampai bulatan kecik tengah tu je.

sebab nanti dia nak mengembang sampai bulatan besar tu.

Kemudian dah habis piping terus bakar selama 15 minit .suhu 170-180. Yang ni aikut oven saya.Oven korang saya tak tahu la.Guna api atas bawah.

Bila dah siap boleh la keluarkan.Tunggu sejuk ye baru alihkan dari macaron mat.

lepas tu masuk kan dalam balang.Dah siap boleh jual.

Kalau ada apa masalah sila tanya.. Saya dah buat banyak kali biskut ni jadi tahu la sikit2 peranagi dia cemana..hahaha.

selamat mencuba...

sekian..











Friday, 8 June 2018

RESEPI MEE SOTO SIMPLE DAN SEDAP TAK GUNA BANYAK BAHAN

Assalamualaikum..




Tak ingat hari apa buat menu mee soto ni. Menu berbuka yang paling simple sebab buat mee soto  ni guna bahan yang ada je.. Sebenarnya tak de niat pun nak masak mee soto.Masuk dapur dok perati je apa bahan yang ada sambil2 kupas bawang dan bahan tumis nya..Padahal belum tahu lagi apa nak di masak.

Selalunya macam tu la saya bila masuk dapur.Terus capai bekas bawang dan kupas bawang merah, bawang putih dan halia. Nanti dah dapat idea nak masak apa, terus je masak.Tak la buang masa dengan berfikir je.

Kalau tengok gambar mee soto saya ni betul2, banyak bahan yang tak de. Tak de bergedil, tak de taugeh..Hehhe.. Sebab kan dah bagitau, guna bahan apa yang ada je. Lagipun nak masak dengan cepat untuk berbuka. Saya tak buat bergedil jadi ubi kentang tu saya masuk kan sekali masa reneh sup.Senang kerja makcik oi..hahahha..

Sambal soto nya pulak saya buat tak berapa pedas sebab anak-anak pun boleh makan walaupun anak saya tak de masalah makan pedas tapi risau jugak la selalu sangat makan pedas jadi sekarang ni memang kawal la bab2 pedas ni..takut lama2 kena gastrik..kan?

Bila check balik rupanya ada satu ni je gambar mee soto saya.Hahaha.. Biasa lah bila tengah berbuka puasa mana fikir nak ambik gambar beriya-iya..ambik mana yang sempat je.Perut tu yang paling penting dulu..ahahah.

Ok. lah..Jom saya ajarkan resepi mee soto yang simple tapi sedap ni.Kalau untuk buat makan sendiri tu ok sangat la.Memang kalah juga rasa di kedai tu.Hehehh..Dan yang bestnya untuk buat kuah soto ni saya tak pakai minyak.Sayua sekarang kan sedang diet..nak kurus la uooolllssss!!hehhe

Resepi Mee Soto Simple dan sedap

1 bungkus mee kuning ( rendam 5 minit dengan air panas lepas tu tos kan)

1/2 ekor ayam saiz sederhana., Potong 2.
3 - 4 mangkuk air
1 kuib ayam
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
2 biji ubi kentang (sebiji potong 4)

1 batang Kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 paket kecil Rempah soto Mak Siti.
serbuk Lada hitam
Garam

Daun sup dan daun bawang
1 biji lemon (ambil air nya saja)

Bahan sampingan:
Tauhu
Bawang goreng
sambal kicap ( cili padi+bawang merah+jus limau kasturi- kisar kemudian masuk kan kicap)

Cara-cara membuat kuah soto yang sedap .

Masuk kan air , ubi kentang dan ayam yang dah dibersihkan kedalam periuk. Kemudian rebus la..

Dalam masa yang sama kisar bawang merah, bawang putih lengkuas dan halia.Lepas tu masuk kan dalam periuk rebus ayam tadi,.Masuk kan rempah soto.

Masuk kan kulit kayu manis, Bunga lawang , buah pelaga ,garam dan kuib ayam..Masak dengan api sederhana saja.

Kita tak tumis bahan sebab ayam tu sendiri ayam keluarkan minyak nya.

Jadi bila kita makan tak la berminyak sangat rasa kuah soto  tu,..

Proses merebus ayam sampai keluar minyak dan ayam sempurna lembut ni ambil masa dalam 1 jam setengah. Jadi boleh bajet masa tu untuk masak lebih awal.

Bila kuah soto dah mula keluar minyak, keluarkan ayam dari sup soto dan  sejuk kan.Nanti senang nak carik2 kan sisi ayam tu.

kemudian masuk kan jus lemon ke dalam sup bersama daun bawang dan daun sup.Tutup api dan tutup periuk supaya kuah sebati dengan rasa daun bawang dan daun sup.

Dah siap pun kuah sup sotonya nya..

Boleh la dihidangkan...

Masuk kan mee ke dalam mangkuk. Letak kuah  dan kemudian carik2 ayam tu masuk kan dalam pinggan, Tabur bawang goreng, dan kemudian sambal kicap.

Kalau korang suka daun bawang dan daun sup boleh masuk kan juga masa nak makan tu.

InsyaAllah memang sedap dan kena dengan selera orang yang suka makan soto.heheh..
 Walaupun tak de ubi kentang tapi rasanya memang best.Korang boleh potong ubi kentang tu kecil2 sikit untuk mudah kan makan.

Tapi bagi saya potong 4 lagi sesuai sebab kita nak rebus lama kuah soto ni.Takut kalau ubi kentang kecil , habis hancur ubi nya nanti.


selamat mencuba..sekian..

Monday, 4 June 2018

RESEPI KUIH KETAYAP PALING SEDAP DAN MUDAH

Hi Semua..



Saya pernah kongsikan resepi kuih ketayap tanpa santan di blog ni dulu.Memang ramai yang dah cuba dan suka dengan kuih ketayap versi tak pakai santan ni.

Bukan semua orang suka benda bersantan ni..kan? Kalau korang nak cuba resepi tu boleh klik sini Resepi Kuih Ketayap Tak pakai santan. Cuba jangan tak cuba ye..

Kali ni kita buat kuih ketayap letak santan pulak. Ni sebab suami nak bawak ke tempat kerja dia.Bulan2 puasa ni kalau dia kerja malam memang dia akan bawa kuih ke tempat kerja untuk kawan2 dia. Lepas siap kami berbuka puasa saya siapkan lah sebekas kuih untuk dia bawa.

Suami saya ni kalau makan memang dia akan balik ke rumah. Risau kot isteri dia berbuka puasa atau makan dalam kesunyian.hahahah...Alhamdulillah dapat suami yang tempat kerja nya dekat la dengan rumah.heheh..

Ada orang kata susah la nak buat kuih ketayap ni..Tapi sebenarnya senang je.Susah bila tak cuba je kot..hahah..kalau dah cuba baru tau lahai senangnya buat kuih ketayap ni.Kuih ketayap ni memang antara kuih yang paling senang nak buat.

Kalau nak resepi can cara buat kuih ketayap yang mudah tapi sedap mai saya ajarkan. Lepas ni boleh la selalu buat kat rumah.



Resepi Kuih Ketayap paling sedap dan mudah :

Bahan-Bahan:

2 cawan tepung gandum
sedikit pewarna hijau
1 1/2 cawan santan cair
sedikit garam

Bahan Inti:

1 cawan kelapa parut
2 sudu besar gula merah
1 helai daun pandan
1 cawan air.

Cara-Cara membuat kuih ketayap:

Cara membuat inti kuih ketayap-

Masuk kan gula merah dan satu cawan air ke dalam periuk. masak sampai gula merah cair.

Masuk kan kelapa parut dan masak sampai kering dan sebati dengan gula merah tu.

Tutup api dan ketepikan inti tu.

Sekarang nak buat kulit ketayap nya..

Masuk kan tepung santan dan pewarna hijau kedalam bekas.kemudian kacau sebati.

Boleh guna blender atau pun mixer . Lagi mudah dan cepat..

Panaskan kuali leper dengan api perlahan. Sapu dengan minyak atau majerin.

Kemudian senduk kan bancuhan tepung ke atas kuali leper. 1 senduk je..
Lepas tu ratakan bancuhan tu membentuk bulatan nipis.

Bila kulit dah masak dia bahagian bawahnya , tak payah di terbalik kan.Aangkat terus letak atas pinggan.

Kulit dah masak bila warna dibahagian atas tu dah berubah jadi sekata.



Lepas tu ambik 1 sudu inti dan letak atas kulit ketayap tadi gulung sikit dan lipat bahagian tepi nya.kemudian teruskan gulung sampai habis.

Ulang langkah ni sampai la siap semuanya.



kemudian boleh la dihidangkan...


Mudah saja..kan??Selamt mencuba...


sekian...









Saturday, 2 June 2018

RESEPI BUTTER CHICKEN YANG SEDAP DAN MUDAH MENGGUNAKAN AYAMAS

Rasa macam nak masak butter chicken la petang ni untuk berbuka puasa nanti.Tapi macam dah lupa je resepi butter chicken . Jumpa juga satu resepi Butter Chicken yang nampak umphh di twiitter hanya menggunakan  Ayamas.



Wah!!.Butter Chicken ni confirm sedap la..

Butter Chicken ni memang mudah je nak membuat nya. Tapi saya lupa bahan-bahan nya. Hehe.. Senangnya buat Butter Chicken ni sampaikan orang bujang pun boleh masak tau. Resepi yang saya dapat ni diambil dari twitter Aliffhaziqq

Ini resepi Ayamas Butter Chicken  yang sedap dan mudah.

Pic: aliffhaziqq


Bahan-bahannya:

1 paket Ayamas
2 sudu besar Butter 
3 ulas Bawang putih 
1 biji Bawang merah 
1 bji Cili 
1 tangkai Daun kari
1/2 tin Susu krimer 
3-5 sudu besar Whipping Cream 

1 senduk minyak masak untuk menggoreng

Cara-caranya:

Potong Ayamas mengikut saiz yang kita suka.
Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ayam sampai garing.
kemudian ketepikan ayam

Dalam kuali lain cairkan butter dan tumis bawang dan cili hingga naik bau
.Masuk kan susu krimer dan juga whipping cream.
Masak sebentar sampai sedikit mendidih dan kemudian masuk kan ayam yang sudah di goreng tadi.

Kalau suka sedikit masin masuk kan garam.
Tapi Ayammas tu dah ada garam nya sendiri.Tak letak garam pun tak pe.

pic : godmisfit


Kemudian masuk kan daun kari. Kacau dan terus angkat dan hidangkan.

Butter chicken ni saya suka makan panas2. Jadi kalau 15 minit lagi nak makan baru saya masak.Memang layan lah..

Ok..jom masak..resepi dah ada nih...


sekian..

INI TIPS YANG KITA PERLU TAHU UNTUK BUAT BISKUT RAYA

Hai semua..




Dah masuk 2 minggu lebih kita berpuasa. Waktu-waktu macam ni apa lagi yang disibuk kan oleh kaum ibu kalau bukan dengan persiapan buat kuih raya. Saya ni cuma dah ada senarai kuih raya je.nak buat tu nampaknya belum sampai mood nya lagi.Mungkin  minggu terakhir baru nak sinsing lengan buat kuih raya.

Bagi yang nak membuat kuih raya mungkin dah mula mencari-cari tips dan panduan membuat kuih raya suapaya kuih raya yang dibuat nanti menjadi dan tidak lah hanya dijamu ke tongsampah saja.

Maklum lah, benda buat setahun sekali ni kadang2 tak menjadi walaupun kita dah ikut resepinya dengan betul mengikut langkah demi langkah.Tapi tengok-tengok kuih raya tak jadi pulak.

Jadi hari ni saya nak kongsi kan beberapa tips ringkas untuk memastikan biskut yang kita buat tu jadi cantik, sedap macam yang kita inginkan.

1- sukatan yang tepat - Pastikan setiap sukatan bahan adalah tepat. Jangan lah main agak-agak je. Kalau setakat goreng ikan tak pe la nak agak2 berapa banyak garam dan kunyit.Tapi bila buat biskut ni sukatan setiap bahan mestilah tepat . Kalau nak buat banyak gandakan setiap bahan.

Ada setengah orang nak jimat punya pasal main hentam je masuk kan bahan.Sudahnya biskut raya tak jadi. Terkeras la, berderai la, ada yang terlalu kembang dan sebagainya. So sukatan setiap bahan kena jaga.

2- Telur pada suhu bilik - Kenapa telur kena berada pada suhu bilik? ianya supaya tidak menjejaskan butter atau majerin yang kita masuk kan ke dalam adunan. Kalau kita guna telur yang baru keluar dari peti sejuk . telur tu akan menyebabkan majerin atau butter jadi keras..

Keluarkan telur dan biar ianya berada pada suhu bilik 1 jam atau 30 minit sebelum memula kan proses membuat biskut.

3- Gunakan Mentega/Majerin yang betul - Jangan guna sebarangan mentega jika mahukan hasil yang baik. Ada biskut yang tak boleh gunakan mentega yang ada garam.Tapi ada juga biskut yang menggunakan mentega yang mempunyai kandungan garam contohnya seperti biskut Chocolate Chips.Kebanykan biskut yang menggunakan chocolate chips menggunakan salted butter sebab garam boleh menseimbangkan rasa manis pada chocolate.

Seperti juga telur mentega atau majerin yang digunakan perlu berada pada suhu bilik.Agak sukar untuk membuat adunan doh biskut  yang sebati jika mentega masih keras

4- portion dan saiz yang tepat - Pastikan bentuk dan saiz biskut adalah sama. Ini supaya biskut yang dibakar akan masak sekata dengan suhu yang telah di tetapkan .

Mungkin ada yang fikir ianya menjadi mudah apabila kita buat biskut yang menggunakan acuan. Tapi ketebalan biskut juga perlu di titik beratkan.

5- Jangan abaikan tips - Setiap biskut mempunyai proses yang berbeza dan sudah tentu ada tips2 tertentu untuk membuat biskut menjadi lebih baik.Jangan abaikan tips yang dikongsi kerana ianya juga adalah sebahagian dari proses dan cara tepat membuat biskut .

Contohnya : Ada biskut yang  perlu di simpan di dalam peti sejuk sebelum di bakar.  Ada juga biskut yang perlu tak perlu diuli dohnya terlalu lama, dan berbagai tips lain nya. Tips2 ini menjadikan biskut yang kita buat jadi sepeti yang kita inginkan.

6- Kawal suhu oven- Bahagian paling susah untuk membuat biskut sebenarnya ialah menentukan suhu sebenar untuk kita bakar biskut kita. Setiap oven bukan sama suhunya,.Kalau dalam resepi tu dia tulis suhu 180 , belum tentu oven kita juga boleh bakar biskut kita dengan suhu tersebut.

Cara saya saya selalu guna ialah bakar 2,3 biskut dahulu dan perhatikan suhu dan masa yang tepat pada oven kita. Kalau oven dah berbunyi Ting!tapi biskut belum masak naik kan suhunya sikit sampai la kita dapat hasil yang seperti kita ingin kan.

Ok..tu je lah tips ringkas yang boleh saya kongsikan.. Selamat mencuba dan semoga berjaya..

sekian..


Friday, 1 June 2018

RESEPI KARIPAP KENTANG PALING SEDAP RINGKAS DAN MUDAH


Ramai yang mencuba resepi karipap kentang ni. Rata-rata yang dah mencubanya memang sangat suka dan kata sedap. Saya sendiri pun tak ingat kat mana la saya dapat resepi karipap ni. 

Kulit karipap ni nipis dan rangup bila di gigit. Kulit nya juga tak keras.Budak-budak pun suka makan karipap macam ni berbanding karipap yang kulitnya tebal dan keras.Mudah nak gigit.




Untuk intinya juga menggunakan bahan yang ringkas dan tak terlalu berempah bila di makan,.Terserah kalau korang suka inti yang rasa rempahnya kuat korang boleh tambah lagi rempahnya.

Kalau suka lebih pedas boleh potong cili dan masuk kan sekali.

Bahan-bahan nya juga saya kisar supaya mudah nak makan.Macam anak-anak saya ni kalau dia nampak bawang ke, halia ke terus takut nak makan.jadi bila dah dikisar semuanya tak la diaorang bagi alasan tak mau makan.


Saya tak pandai nak kelim bahagian tepi karipap tu jadi hanya gunakan acuan karipap sahaja. Lebih mudah dan cepat sebenarnya.

Ada orang yang tak makan bahagian tepi karipap . Kalau guna acuan tak la bahagian tepi karipap tu terbazir .Betul tak?

Kebanyakan karipap yang saya beli bahagian tepi yang dikelim tu agak tebal sampai nak gigit pun keras.




Dengan 2 cawan tepung je boleh dapat dekat 20 biji karipap.Sebab kulit karipap ni nipis je.Tak pakai banyak doh. Sebab tu saya selalu sarankan siapa nak berniaga karipap baik la guna resepi saya ni sebab tak melibatkan kos yang tinggi.

Rasanya pun memang sedap.Ramai yang berkongsi dengan saya selepas mencuba resepi karipap ni .Diaorang kata memang sedap dan tak sangka sekali cuba buat karipap terus jadi.

Kalau korang nak cuba resepi karipap kentang yang paling sedap ni boleh la klik sini (Resepi karipap kentang paling sedap dan mudah ) dan selamat mencuba 



RESEPI ROTI JALA PALING SEDAP DAN MUDAH


Resepi roti jala sedap dan ringkas


Roti jala memang sedap dan mudah saja nak membuatnya. Rori jala lebih sedap dimakan bersama kari daging walaupun ada juga yang makan bersama bubur durian ataupun sambal.Tapi kebiasaan nya kari daging menjadi pilihan ramai untuk dimakan bersama dengan roti jala.

Cara nak menyediakan roti jala juga sangat mudah dan tak memerlukan banyak bahan.Saya suka kan roti jalan yang kenyal dan lembut.Bila di koyak ianya macam getah tapi sangat lembut .tak susah pun nak dapatkan roti jala yang macam tu.

Untuk resepi Roti jala yang saya nak kongsikan kali ni saya sertakan juga resepi kari daging. Cara menyediakan kari daging pun tak susah.Cuma daging tu kita potong lebih kecil.Tak seperti memasak daging yang biasa kita masak untuk dimakan dengan nasi.

Jom kita tengok resepi Roti Jala paling sedap dan mudah ni.Bahan-bahan dan cara membuat roti jalan ni simple je .



Cara Membuat Roti Jala

Bahan-bahan membuat Roti jala:

2 cawan tepung gandung
1 biji telur ayam
1 1/2 cawan air.
secubit garam
Sedikit serbuk kunyit atau pewarna kuning

Cara-caranya:

campurkan semua bahan ke dalam pengisar dan kisar sampai semua bahan sebati.

Boleh juga gunakan mixer.Kemudian tapis supaya tak de tepung yang berketul.

Masuk kan kedalam bootol khas untuk membuat roti jala.

Ada juga yang gunakan senduk roti jala. Tapi saya gunakan botol .Lebih mudah dan cepat.

Panas kan kuali leper dan sapu sedikit minyak atau majerin.

kemudian boleh la tuang adunan dalam kuali.Buat bentuk jala tak kisah la bulatan atau petak2.

Saya suka buat petak2 lebih kemas dan cantik.Baru la ada bentuk jala.

Tak payah terbalik kan roti jala tu.Terus angkat je bila bahagian atas tepung tak de putih2.

kemudian buat satu lagi dengan cara yang sama.

kiranya kita guna 2 lapis Roti Jala. Gulung atau lipat la cantik2.Saya gulung je.

hidangkan dalam pinggan.Ulang cara ni sampai tepung habis.


Resepi roti jala paling sedap



Cara membuat Kari daging

Bahan-Bahan membuat kari daging

1 mangkuk kecil daging yang di potong kecik. Potong kecil supaya mudah di makan.
2 sudu besar rempah kari daging
1 biji ubi kentang dipotong 4
1 cawan santan cair

1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun kari

1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia

3 sudu besar minyak masak
Garam secukup rasa


Cara-caranya:

Kisar bawang besar , bawang putih dan halia.
Panaskan minyak dan tumis daun kari, bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis.
Kemudian masuk kan bahan kisar. Tumis hingga naik bau.

Masuk kan rempah kari daging bersama 1 cawan air.
Kemudian masuk kan daging dan ubi kentang.
Masak sampai rempah naik minyak.

Masuk kan garam dan santan.kacau hingga sebati dan masak lagi hingga mendidih.
Bila ubi dan daging sudah lembut boleh lah angkat dan dihidangkan bersama dengan roti jala.


selamat mencuba..


sekian..




Thursday, 17 May 2018

RESEPI PAU KUKUS INTI KELAPA YANG MUDAH DAN SEDAP

Assalamualaikum..




Kuih Pau sangat sedap kalau di makan panas-panas.Kulit Pau yang gebu dan lembut bukan saja sedap dimakan dengan inti yang pedas malah kalau inti manis pun sedap. Pau paling senang nak dibuat ialah Pau inti kelapa.

Tapi kelapa parut pun bukan  senang nak dapat sekarang ni. Tambah pulak dengan harga kelapa parut  yang mahal hanya tempat tertentu saja mudah nak dapatkan kelapa parut.  Paling senang nak dapat tentu lah di pasar.Itu pun kena pergi awal.kalau lambat sikit tinggal tempurung kelapa je la.

Hari ni saya nak kongsikan resepi Pau Inti kelapa yang sangat sedap dan mudah. Mak saudara di kampung memang mengusahakan perniagaan kuih muih jadi resepi ni pernah dikongsikan nya pada saya.Dan sampai sekarang saya masih gunakan resepi dia .

Cara nak kukus kuih Pau ni pun tak la leceh macam kuih2 lain.. Macam saya ni kukus guna periuk nasi je..tapi bila kukus guna periuk nasi ni kena la buat comel..Tak boleh buat besar2..Nanti tak muat pulak kalau pau kita naik..

Ok..jom saya tunjuk kan cara mudah dan Resepi  Pau inti Kelapa yang mudah dan sedap.

bahan-bahan:

Bahan untuk membuat inti kelapa.

1 cawan kelapa parut
1/2 cawan gula pasir
1 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau.
setengah cawan air.
secubit garam

Bahan untuk membuat doh pau .

2 cawan tepung gandum
1 paket yis mauripan
1 sudu gula
6 sudu minyak masak.
1 sudu kecil garam
1 cawan air

2 cawan air untuk mengukus

Cara-cara membuat pau Inti Kelapa 

1- masuk kan kelapa parut, gula, pewarna ,secubit garam dan sehelai daun pandan ke dalam periuk .

2- Masuk kan setengah cawan air.

3- Masak hingga naik bau pandan dan gula hancur dan semua bahan menjadi sebati.

4- angkat dan sejuk kan.

________________

**Masuk kan 2 cawan  air ke dalam periuk nasik dan tekan on. 

Cara membuat doh..

1- Masuk kan tepung ,minyak masak,yis, gula dan garam ...gaul hujung2 jari supaya sebati dan  tak berketul.

2- Lepas tu masuk kan air .uli sampai jadi doh.sampai dia jadi cantik la.kemudian ketepikan  dalam setengah jam.


3- lepas setengah jam dia dah naik tu, uli lagi ..

4- kemudian ambik la doh tu sikit. Masuk kan Inti kedalam nya ..lepas tu tutup dan letak atas daun pisang.

5- buat banyak2 lepas tu tunggu semua doh kembang.,.

6- Bila air dalam rice cooker dan panas , boleh la kukus pau-pau tu.



..kukus yang dah kembang tu dulu ye. kukus tak lama pun, dalam 15-18 minit je...lepas tu makan la panas2..

Cara ni sama je kalau korang gunakan periuk kukus yang atas dapur tu.Periuk kukus perlu dipanaskan dulu.Kalau tak panas tak cantik la kot pau korang nanti.

selamat mencuba...