Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Saturday, 2 June 2018

INI TIPS YANG KITA PERLU TAHU UNTUK BUAT BISKUT RAYA

Hai semua..




Dah masuk 2 minggu lebih kita berpuasa. Waktu-waktu macam ni apa lagi yang disibuk kan oleh kaum ibu kalau bukan dengan persiapan buat kuih raya. Saya ni cuma dah ada senarai kuih raya je.nak buat tu nampaknya belum sampai mood nya lagi.Mungkin  minggu terakhir baru nak sinsing lengan buat kuih raya.

Bagi yang nak membuat kuih raya mungkin dah mula mencari-cari tips dan panduan membuat kuih raya suapaya kuih raya yang dibuat nanti menjadi dan tidak lah hanya dijamu ke tongsampah saja.

Maklum lah, benda buat setahun sekali ni kadang2 tak menjadi walaupun kita dah ikut resepinya dengan betul mengikut langkah demi langkah.Tapi tengok-tengok kuih raya tak jadi pulak.

Jadi hari ni saya nak kongsi kan beberapa tips ringkas untuk memastikan biskut yang kita buat tu jadi cantik, sedap macam yang kita inginkan.

1- sukatan yang tepat - Pastikan setiap sukatan bahan adalah tepat. Jangan lah main agak-agak je. Kalau setakat goreng ikan tak pe la nak agak2 berapa banyak garam dan kunyit.Tapi bila buat biskut ni sukatan setiap bahan mestilah tepat . Kalau nak buat banyak gandakan setiap bahan.

Ada setengah orang nak jimat punya pasal main hentam je masuk kan bahan.Sudahnya biskut raya tak jadi. Terkeras la, berderai la, ada yang terlalu kembang dan sebagainya. So sukatan setiap bahan kena jaga.

2- Telur pada suhu bilik - Kenapa telur kena berada pada suhu bilik? ianya supaya tidak menjejaskan butter atau majerin yang kita masuk kan ke dalam adunan. Kalau kita guna telur yang baru keluar dari peti sejuk . telur tu akan menyebabkan majerin atau butter jadi keras..

Keluarkan telur dan biar ianya berada pada suhu bilik 1 jam atau 30 minit sebelum memula kan proses membuat biskut.

3- Gunakan Mentega/Majerin yang betul - Jangan guna sebarangan mentega jika mahukan hasil yang baik. Ada biskut yang tak boleh gunakan mentega yang ada garam.Tapi ada juga biskut yang menggunakan mentega yang mempunyai kandungan garam contohnya seperti biskut Chocolate Chips.Kebanykan biskut yang menggunakan chocolate chips menggunakan salted butter sebab garam boleh menseimbangkan rasa manis pada chocolate.

Seperti juga telur mentega atau majerin yang digunakan perlu berada pada suhu bilik.Agak sukar untuk membuat adunan doh biskut  yang sebati jika mentega masih keras

4- portion dan saiz yang tepat - Pastikan bentuk dan saiz biskut adalah sama. Ini supaya biskut yang dibakar akan masak sekata dengan suhu yang telah di tetapkan .

Mungkin ada yang fikir ianya menjadi mudah apabila kita buat biskut yang menggunakan acuan. Tapi ketebalan biskut juga perlu di titik beratkan.

5- Jangan abaikan tips - Setiap biskut mempunyai proses yang berbeza dan sudah tentu ada tips2 tertentu untuk membuat biskut menjadi lebih baik.Jangan abaikan tips yang dikongsi kerana ianya juga adalah sebahagian dari proses dan cara tepat membuat biskut .

Contohnya : Ada biskut yang  perlu di simpan di dalam peti sejuk sebelum di bakar.  Ada juga biskut yang perlu tak perlu diuli dohnya terlalu lama, dan berbagai tips lain nya. Tips2 ini menjadikan biskut yang kita buat jadi sepeti yang kita inginkan.

6- Kawal suhu oven- Bahagian paling susah untuk membuat biskut sebenarnya ialah menentukan suhu sebenar untuk kita bakar biskut kita. Setiap oven bukan sama suhunya,.Kalau dalam resepi tu dia tulis suhu 180 , belum tentu oven kita juga boleh bakar biskut kita dengan suhu tersebut.

Cara saya saya selalu guna ialah bakar 2,3 biskut dahulu dan perhatikan suhu dan masa yang tepat pada oven kita. Kalau oven dah berbunyi Ting!tapi biskut belum masak naik kan suhunya sikit sampai la kita dapat hasil yang seperti kita ingin kan.

Ok..tu je lah tips ringkas yang boleh saya kongsikan.. Selamat mencuba dan semoga berjaya..

sekian..


Friday, 1 June 2018

RESEPI KARIPAP KENTANG PALING SEDAP RINGKAS DAN MUDAH


Ramai yang mencuba resepi karipap kentang ni. Rata-rata yang dah mencubanya memang sangat suka dan kata sedap. Saya sendiri pun tak ingat kat mana la saya dapat resepi karipap ni. 

Kulit karipap ni nipis dan rangup bila di gigit. Kulit nya juga tak keras.Budak-budak pun suka makan karipap macam ni berbanding karipap yang kulitnya tebal dan keras.Mudah nak gigit.




Untuk intinya juga menggunakan bahan yang ringkas dan tak terlalu berempah bila di makan,.Terserah kalau korang suka inti yang rasa rempahnya kuat korang boleh tambah lagi rempahnya.

Kalau suka lebih pedas boleh potong cili dan masuk kan sekali.

Bahan-bahan nya juga saya kisar supaya mudah nak makan.Macam anak-anak saya ni kalau dia nampak bawang ke, halia ke terus takut nak makan.jadi bila dah dikisar semuanya tak la diaorang bagi alasan tak mau makan.


Saya tak pandai nak kelim bahagian tepi karipap tu jadi hanya gunakan acuan karipap sahaja. Lebih mudah dan cepat sebenarnya.

Ada orang yang tak makan bahagian tepi karipap . Kalau guna acuan tak la bahagian tepi karipap tu terbazir .Betul tak?

Kebanyakan karipap yang saya beli bahagian tepi yang dikelim tu agak tebal sampai nak gigit pun keras.




Dengan 2 cawan tepung je boleh dapat dekat 20 biji karipap.Sebab kulit karipap ni nipis je.Tak pakai banyak doh. Sebab tu saya selalu sarankan siapa nak berniaga karipap baik la guna resepi saya ni sebab tak melibatkan kos yang tinggi.

Rasanya pun memang sedap.Ramai yang berkongsi dengan saya selepas mencuba resepi karipap ni .Diaorang kata memang sedap dan tak sangka sekali cuba buat karipap terus jadi.

Kalau korang nak cuba resepi karipap kentang yang paling sedap ni boleh la klik sini (Resepi karipap kentang paling sedap dan mudah ) dan selamat mencuba 



RESEPI ROTI JALA PALING SEDAP DAN MUDAH


Resepi roti jala sedap dan ringkas


Roti jala memang sedap dan mudah saja nak membuatnya. Rori jala lebih sedap dimakan bersama kari daging walaupun ada juga yang makan bersama bubur durian ataupun sambal.Tapi kebiasaan nya kari daging menjadi pilihan ramai untuk dimakan bersama dengan roti jala.

Cara nak menyediakan roti jala juga sangat mudah dan tak memerlukan banyak bahan.Saya suka kan roti jalan yang kenyal dan lembut.Bila di koyak ianya macam getah tapi sangat lembut .tak susah pun nak dapatkan roti jala yang macam tu.

Untuk resepi Roti jala yang saya nak kongsikan kali ni saya sertakan juga resepi kari daging. Cara menyediakan kari daging pun tak susah.Cuma daging tu kita potong lebih kecil.Tak seperti memasak daging yang biasa kita masak untuk dimakan dengan nasi.

Jom kita tengok resepi Roti Jala paling sedap dan mudah ni.Bahan-bahan dan cara membuat roti jalan ni simple je .



Cara Membuat Roti Jala

Bahan-bahan membuat Roti jala:

2 cawan tepung gandung
1 biji telur ayam
1 1/2 cawan air.
secubit garam
Sedikit serbuk kunyit atau pewarna kuning

Cara-caranya:

campurkan semua bahan ke dalam pengisar dan kisar sampai semua bahan sebati.

Boleh juga gunakan mixer.Kemudian tapis supaya tak de tepung yang berketul.

Masuk kan kedalam bootol khas untuk membuat roti jala.

Ada juga yang gunakan senduk roti jala. Tapi saya gunakan botol .Lebih mudah dan cepat.

Panas kan kuali leper dan sapu sedikit minyak atau majerin.

kemudian boleh la tuang adunan dalam kuali.Buat bentuk jala tak kisah la bulatan atau petak2.

Saya suka buat petak2 lebih kemas dan cantik.Baru la ada bentuk jala.

Tak payah terbalik kan roti jala tu.Terus angkat je bila bahagian atas tepung tak de putih2.

kemudian buat satu lagi dengan cara yang sama.

kiranya kita guna 2 lapis Roti Jala. Gulung atau lipat la cantik2.Saya gulung je.

hidangkan dalam pinggan.Ulang cara ni sampai tepung habis.


Resepi roti jala paling sedap



Cara membuat Kari daging

Bahan-Bahan membuat kari daging

1 mangkuk kecil daging yang di potong kecik. Potong kecil supaya mudah di makan.
2 sudu besar rempah kari daging
1 biji ubi kentang dipotong 4
1 cawan santan cair

1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun kari

1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia

3 sudu besar minyak masak
Garam secukup rasa


Cara-caranya:

Kisar bawang besar , bawang putih dan halia.
Panaskan minyak dan tumis daun kari, bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis.
Kemudian masuk kan bahan kisar. Tumis hingga naik bau.

Masuk kan rempah kari daging bersama 1 cawan air.
Kemudian masuk kan daging dan ubi kentang.
Masak sampai rempah naik minyak.

Masuk kan garam dan santan.kacau hingga sebati dan masak lagi hingga mendidih.
Bila ubi dan daging sudah lembut boleh lah angkat dan dihidangkan bersama dengan roti jala.


selamat mencuba..


sekian..




Thursday, 17 May 2018

RESEPI PAU KUKUS INTI KELAPA YANG MUDAH DAN SEDAP

Assalamualaikum..




Kuih Pau sangat sedap kalau di makan panas-panas.Kulit Pau yang gebu dan lembut bukan saja sedap dimakan dengan inti yang pedas malah kalau inti manis pun sedap. Pau paling senang nak dibuat ialah Pau inti kelapa.

Tapi kelapa parut pun bukan  senang nak dapat sekarang ni. Tambah pulak dengan harga kelapa parut  yang mahal hanya tempat tertentu saja mudah nak dapatkan kelapa parut.  Paling senang nak dapat tentu lah di pasar.Itu pun kena pergi awal.kalau lambat sikit tinggal tempurung kelapa je la.

Hari ni saya nak kongsikan resepi Pau Inti kelapa yang sangat sedap dan mudah. Mak saudara di kampung memang mengusahakan perniagaan kuih muih jadi resepi ni pernah dikongsikan nya pada saya.Dan sampai sekarang saya masih gunakan resepi dia .

Cara nak kukus kuih Pau ni pun tak la leceh macam kuih2 lain.. Macam saya ni kukus guna periuk nasi je..tapi bila kukus guna periuk nasi ni kena la buat comel..Tak boleh buat besar2..Nanti tak muat pulak kalau pau kita naik..

Ok..jom saya tunjuk kan cara mudah dan Resepi  Pau inti Kelapa yang mudah dan sedap.

bahan-bahan:

Bahan untuk membuat inti kelapa.

1 cawan kelapa parut
1/2 cawan gula pasir
1 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau.
setengah cawan air.
secubit garam

Bahan untuk membuat doh pau .

2 cawan tepung gandum
1 paket yis mauripan
1 sudu gula
6 sudu minyak masak.
1 sudu kecil garam
1 cawan air

2 cawan air untuk mengukus

Cara-cara membuat pau Inti Kelapa 

1- masuk kan kelapa parut, gula, pewarna ,secubit garam dan sehelai daun pandan ke dalam periuk .

2- Masuk kan setengah cawan air.

3- Masak hingga naik bau pandan dan gula hancur dan semua bahan menjadi sebati.

4- angkat dan sejuk kan.

________________

**Masuk kan 2 cawan  air ke dalam periuk nasik dan tekan on. 

Cara membuat doh..

1- Masuk kan tepung ,minyak masak,yis, gula dan garam ...gaul hujung2 jari supaya sebati dan  tak berketul.

2- Lepas tu masuk kan air .uli sampai jadi doh.sampai dia jadi cantik la.kemudian ketepikan  dalam setengah jam.


3- lepas setengah jam dia dah naik tu, uli lagi ..

4- kemudian ambik la doh tu sikit. Masuk kan Inti kedalam nya ..lepas tu tutup dan letak atas daun pisang.

5- buat banyak2 lepas tu tunggu semua doh kembang.,.

6- Bila air dalam rice cooker dan panas , boleh la kukus pau-pau tu.



..kukus yang dah kembang tu dulu ye. kukus tak lama pun, dalam 15-18 minit je...lepas tu makan la panas2..

Cara ni sama je kalau korang gunakan periuk kukus yang atas dapur tu.Periuk kukus perlu dipanaskan dulu.Kalau tak panas tak cantik la kot pau korang nanti.

selamat mencuba...

Tuesday, 15 May 2018

RESEPI IKAN BAUNG GORENG MASAK HALIA DAN LADA HITAM - MENU BERSAHUR PALING SIMPLE TAPI SEDAP

Hi semua..

Memandangkan kita dah hampir je nak masuk ke bulan Ramadhan ni elok sangat lah kalau saya kongsikan resepi yang simple dan cepat di masak sesuai untuk di masak ketika bersahur.

Biasanya bila bersahur ni kita tak boleh nak makan makanan yang berat-berat sangat. Jadi lauk-pauk yang simple  sentiasa jadi pilihan kita.Betul tak? Yang penting sekali menu bersahur yang paling senang nak masak,  simple tapi sedap

Ini salah satu lauk yang sangat simple tapi sedap dan sesuai kalau nak dibuat sahur. Ikan Baung goreng masak  halia dan lada hitam.

Ikan Baung ni ikan darat so kalau nak bersihkan kena bersihkan betukl2 supaya tak hanyir.Saya ni kalau bab bersiang ikan darat memang tak reti.Suami saya la yang akan uruskan bab2 tu.

Yang selalu saya nampak dia akan cuci ikan untuk hilangkan hanyir ikan  guna asam keping, garam kasar, asam jawa , limau nipis dan tepung . Memang hilang hanyir2 nya tu.




Masa sahur tu kalau ada nasi beriani ke memang tak lalu nak telan, tapi kalau ada ikan baung goreng  masak Halia dan lada hitam , memang laju je suap nasik. Untuk resepi ni saya letak kan sedikit lada hitam.Sikit je tak banyak..Kalau letak banyak lagi la sedap..

Tapi kalau ada anak-anak yang ikut bersahur sama , macam keluarga saya ni elok la dikurangkan sikit lada hitam tu.Takut sakit perut pulak anak kita kat sekolah siang nanti.

Hari ni saya nak kongsikan Resepi ikan Baung  Goreng Halia dan Lada Hitam  yang sangat sesuai kalau nak di makan ketika bersahur atau berbuka puasa.

OK.lah .. jom kita tengok resepi Ikan Baung Goreng masak halia dan Lada Hitam

Bahan-Bahan

1/2 ekor ikan baung (saya ambil bahagian badan je.Ekor dan kepala simpan nak buat masak tempoyak)

sedikit serbuk kunyit
sedikit garam
2 inci Halia
1 sudu kecil lada hitam yang di tumbuk halus.
1 biji Bawang besar
2 ulas bawang putih

Cili hijau/merah - tapi saya tak letak.
Minyak untuk menggoreng

Cara-caranya.

Potong ikan dan bersihkan.
Gaul ikan dengan garam dan serbuk kunyit.
Panaskan minyak dan goreng ikan sampai garing.

kalau minyak banyak sangat boleh buang setengah...

Masuk kan bawang besar , bawang putih dan halia yang dah di hiris halus.
Kacau semua sebati..
jangan kacau macam saya tu..sampai hancur ikan..hahah

Akhir sekali masuk kan lada hitam..gaul sebati..
Jangan lupa masuk kan cili hijau /merah kalau suka;. Tapi saya tak letak pun..




Rasanya memang sedap lagi2 kalau guna halia muda. Halia muda ni sedap kalau dibuat ulam. Lauk ni juga sesuai untuk perempuan  yang sedang dalam pantang bersalin .

Nanti jangan lupa cuba tau. Ada lauk ni , lepas tu tumis sayur je pun dah cukup.


selamat mencuba..

sekian..

Monday, 14 May 2018

RESEPI TELUR MAYONG MASAK LEMAK CILI PADI YANG PALING SEDAP




Kali pertama saya makan Telur Mayong masa saya kecil-kecil dulu.Tu pun dapat rasa sikit je. maklum la masa kecik-kecik dulu makanan semuanya berkongsi .Adik beradik pulak ramai.Kena la rasa sorang sikit. 

Harganya pulak bukan nya murah.Dulu tak tahu la harga nya berapa tapi sekarang harga telur mayong cecah rm40 sekilo.Jangan risau sekilo tu pun dah cukup banyak.Tak rugi kalau beli sekilo.hehehe

Telur Mayong ni paling sedap kalau dibuat masak lemak cili padi.  Makan bertambah-tambah sampai tak perasan mertua lalu kat belakang. Telur Mayong masak lemak cili padi ni kalau dibuat sedikit masam memang sedap.

Nak masak telur mayong  masak lemak cili padi yang paling sedap , Saya suka masuk kan sebiji tomato yang di potong 4 masa nak tumis bawang tu, Supaya tomato tu lembik . Rasa tomato yang sebati dengan kuah masak lemak cili padi ni jadi sangat sedap..

Ada orang suka masak telur mayong ni sekejap je. Telur mayong ni kalau dimasak lama dia akan jadi keras.Tapi saya suka masak lama sebab nak elak kan rasa hanyir tu. Kalau masak kejap je rasanya macam telur ayam separuh masak pula..hahhaha. masak lama-lama bukan saja tak hanir tapi juga sangat sedap.





Pada yang belum pernah cuba makan telur Mayong boleh la cari di pasar-pasar.Biasanya memang ada di jual di pasar basah . Kena tanya la penjual ikan tu sama ada dia ada jual telur mayong sebab ada penjual yang menyimpan telur ikan mayong ni untuk makan sendiri je.


Yang buat duit tu memang akan jual telur ikan ni.

Kalau dah beli telur ikan mayong jom kita buat Masak lemak cili padi yang paling sedap. Resepi Telur mayong masak lemak cili padi ni adalah resepi dan cara saya sendiri. Kalau suka kan masakan yang simple dan cepat tapi sedap boleh lah mencuba nya.

Bahan-bahan

5 - 10 biji cili padi
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia.
1 sudu kecil serbuk kunyit (boleh juga kalau nak guna kunyit hidup)

1 batang serai di ketuk.
2 biji tomato di potong 4
1/2 cawan santan pekat (saya guna santan kotak)
1 cawan air.


3 sudu besar minyak masak.
garam secukup rasa
1 keping asam gelugur




Cara-cara nya:

Kisar cili padi, bawang besar, bawang putih , halia dan serbuk kunyit.

Panas kan minyak dan masuk kan serai..

Kemudian masuk kan bahan kisar bersama tomato yang di potong 4.

masak hingga naik baunya dan bahan tumis sedikit garing.

Masuk kan 1 cawan air bersama telur ikan mayong.

masak hingga mendidih . Balik-balik kan telur ikan tu supaya masak sekata.

Masuk kan garam dan asam keping.

Apa bila sudah mesak masuk kan santan. Tutup api dan boleh lah di hidangkan..

Korang juga boleh masuk kan Belimbing buluh atau pun terung hijau dalam resepi ni.Tapi saya tak masuk kan pun.Kalau ada lagi sedap tau..


Ok..selamat mencuba resepi Telur Ikan Mayong Masak Lemak Cili Padi yang Paling Sedap..


sekian..


Friday, 20 April 2018

RESEPI NASI GORENG KAMPUNG YANG SANGAT SEDAP

Assalamualaikum..


RESEPI NASI GORENG KAMPUNG YANG SANGAT SEDAP Pagi ni sarapan Nasi Goreng Kampung . Saya memang suka nasi goreng kampung . Tapi jarang2 makan sebab nasi..Saya ni pantang nasi. Takut gemuk. Tak ambil nasi pun dah cepat je berat badan naik.bayang kan kalau hari2 makan nasi lain la tembun badan ni..Jadi dapat makan nasi sekali sekal je , saya akan pilih nasi goreng kampung,.

Tapi bukan nya hari-hari boleh makan kat luar. Macam mana pun kalau teringin nak makan nasi , terpaksa la turun ke dapur untuk memenuhi tekak sendiri. Kentang kentung la kita kat dapur masak nasi Goreng Kampung .

Nak kata pandai sangat masak nasi Gorteng Kampung ni tidak la.Tapi kalau korang rasa memang boleh kata sebijik macam makan kat kedai. hahahah.

resepi saya ni tak la lengkap macam kat kedai sebab biasanya kedai makan thai akan masuk kan sos ikan sikit kedalam nasi goreng kampung. Tapi yang saya buat ni tak letak sos ikan, Walaupun tak letak rasanya tetap sedap dan terangkat..

Ok Jom kita cuba masak Nasi Goreng kampung yang sangat  sedap macam kat restoran Thai.



Bahan_bahan : 

1 mangkuk nasi putih.. Saya guna nasi semalam. Lepas tu hancur2 kan dia. Sampai hancur nasik digaulnya..ahahhaha.

1 genggam ikan bilis. Rendam dan tosa kan. Bahagi kepada dua bahagian. 1 bahagian di goreng  dan 1 bahagian lagi akan di tumbuk dengan bawang dan cili nanti.

2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
5-6 batang cili padi
5-6 tangkai kangkung - di potong sekali dengan batang.(bahagian yang lembut je)
secubit belacan
2 sudu hirisan ayam
1 biji telur

garam
1 sudu besar sos tiram\

2 sudu besar minyak masak.

Cara-caranya.

Mula-mula panaskan minyak dalam  kuali dan masuk kan ayam.Goreng ayam sampai perang dan sedikit garing.

Tumbuk bawang merah, bawang putih , cili dan ikan bilis. Tumbuk manja2 je..asal pecah2 sikit dah la.Tak payah tumbuk sampai lumat.

Masuk kan ke dalam kuali. Kacau sebati..masuk kan belacan dan sos tiram.masuk kan garam.

Masuk kan nasik, dan kangkung. Kemudian pecahkan sebiji telur kedalam nasi tadi.

Kacau sebati sampai la nasi tak melekat  dan nasi jadi berderai. Last sekali masuk kan ikan bilis yang dah di goreng tadi.

Sekarang dah siap ..nasi Goreng kampung yangsangat sedap.

selamat mencuba

Tuesday, 27 March 2018

RESEPI NASI KUNING BERSAMA AYAM BEREMPAH DAN SAMBAL TUMIS YANG SANGAT SEDAP DAN SIMPLE

Assalamualaikum..

Setiap pagi memang saya kena masak nasi untuk sarapan dan bekal anak-anak.tapi cuma di hari bersekolah je la.Kalau hari lain saya beli je sarapan diaorang ni. Salah satu yang menjadi kegemaran diaorang ialah Nasi Kuning dan Ayam Berempah yang simple .

resepi nasi kuning bersama ayam berempah yang sedap dan simple


Selain nasi ada juga sesekali saya akan goreng bihun atau buat burger untuk bekal dan sarapan diaorang.tapi jarang la..Nasi la paling kerap saya buat.

Nasi goreng, nasi putih bersama ayam masak kicap, nasi ayam dan yang paling menjadi kegemaran mereka ialah Nasi Kuning .

Nasi kuning ni saya akan masak bersama dengan ayam goreng berempah dan juga sambal pedas.Sambal tumis nya saya masak guna bawang putih, bawang besar , garam dan cili kisar je. Tak payah letak gula atau bahan lain.

Oleh sebab saya sediakan nasi ni diwatu awal pagi dan mesti siapkan dengan cepat jadi tak banyak bahan yang saya gunakan dan cara saya memasaknya juga simple.

Bagi yang nak makan nasik kuning yang sedap tapi tak mau tunggu lama boleh try resepi ringkas saya ni.rasanya jugak tak terlalu berempah.

Korang boleh jumpa nasi kuning ni banyak dijual di Kedah.Memang kedah ni terkenal dengan nasi kuning nya yang sedap.Ada yang masuk kan kismis dan susu , dan ada juga yang masak simple macam saya buat..

Jom kita ke resepi cara memasak Nasi Kuning bersama Ayam berempah dan sambal tumis Yang sangat Sedap dan Simple.

Bahan-bahan nya:

Bahan untuk masak nasi Kuning

1/2 ekor ayam - Potong bersihkan dan rebus dengan 4 cawan air. (simpan air rebusan ayam)
4 cawan beras - bersihkan dan tos.
1 batang serai
1 kuib ayam 
2 ulas bawang putih
1 inci halia
bunga lawang
Kulit kayu Manis
Bunga cengkih
garam
1 sudu majerin
1 sudu kecil serbuk kunyit

Cara-caranya:

Masuk kan beras yang sudah dibersihkan dan di tos ke dalam periuk nasi.Masuk air rebusan ayam, 1 batang serai yang dah di ketuk,kuib ayam,  bawang putih,halia,bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis, garam, majerin dan serbuk kunyit.

kemudian masak nasi guna periuk elektrik. nak guna dapur gas biasa pun boleh.Pandai2 la kawal api.

Sekarang kita nak Goreng ayam berempah pulak.

Bahan-bahan untuk ayam goreng berempah:

Ayam yang sudah direbus tadi.
1 tangkai daun kari\1 sudu besar serbuk rempah kari ayam
1 sudu kecil garam.
Minyak untuk menggoreng

Cara-caranya:

Panaskan minyak.
Goreng ayam sehingga keemasan dan nampak garing.Proses ni tak lama pun sebab ayam tu dah masak masa direbus tadi.

kemudian angkat dan toskan.

Last sekali kita buat sambal nya..

Bahan-bahan untuk sambal tumis

2 sudu besar cili yang dah dikisar
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
garam dan sedikit air.
Minyak untuk menumis,

cara-Caranya:

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang purih
Nasuk kan cili kisar..masak hingga garing dan tambah sedikit air,
Masak lagi sampai mendidih dan masuk kan garam..

tutup api..dah siap..

Kemudian masa ni nasi pun dah masak.. dan boleh la dihidangkan..

resepi nasi kuning bersama ayam berempah yang sedap dan simple


Untuk jimatkan masa saya di waktu pagi biasanya sebelum tidur saya akan rebus dulu ayam siap2 dan toskan ayam tu supaya nak goreng nanti lebih mudah.

Kalau ayam tu tak di tos betul2 sampai kering air nya nanti nak goreng jenuh meletup2 minyak atas dapur..hahhaa..

Kalau rajin lagi perapkan ayam tu dengan rempah dan garam siap2 dan simpan dalam peti sejuk.bangun pagi terus masak nasik, goreng ayam dan masak sambal ke.

Untuk proses memasak ni saya ambik masa kurang 45 minit .Kalau bahan disiapkan sebelum tidur lagi cepat siap.tak sampai setengah jam dah siap hidangan sarapan pagi yang buat suami dan anak2 kagum..Hahha..

Ok..tu je..selamat mencuba resepi simple tapi sedap ni..\


sekian,..

Wednesday, 28 February 2018

RESEPI POP CORN CARAMEL SEDAP , RANGUP DAN PALING MUDAH

Popcorn memang sangat digemari tak kira kanak-kanak dan juga orang dewasa. Kalau dulu popcorn ni cuma ada perisa caramel je. Tapi sekarang dah dipelbagaikan rasa popcorn tu supaya lebih ramai yang dapat menikmati popcorn dengan perisa kegemaran masing-masing.

Ramai yang lebih suka kan popcorn yang rangup dan cara membuatnya sebenarnya tidak la susah pun.

Bagi kebanyakan ibu-ibu popcorn boleh la dikatakan sebagai snek untuk anak-anak yang sangat mudah disediakan . Kalau dah tak de apa sangat nak di jamu , buat je popcorn. 

Lepas tu letak la perisa apa yang anak-anak kita suka.Bagi orang dewasa mungkin lebih suka kan popcorn  perisa keju ataupun yang berempah.Untuk kanak-kanak perisa caramel, strawberry atau pun untuk lebih sihat cukup popcorn kosong yang tak disalut apa-apa perisa.

Macam anak saya ni kadang2 dia nak makan popcorn yang tak di letak kan apa-apa perisa. Tapi masa masak jagung tu kena guna mentega yang ada garam atau kalau tak de butter guna majerin je.

resepi popcorn rangup, sedap dan mudah

Biji jagung untuk buat popcorn ni korang boleh dapatkan di pasaraya . Ada dibahagian kacang-kacang yang timbang tu.Harga nya tak mahal pun.Sekilo dalam rm7 je harga dia.. 

Saya selalunya beli tak sampai sekilo pun..Ini pun dah cukup banyak.Dalam setengah kilo boleh buat 4 bekas besar. 

Baru-baru ni letak gambar Popcorn di instagram ramai adik2 ni tertanya2 resepi nak buat Popcorn ni.Kalau diaorang tau betapa senang nya buat popcorn mesti diaorang menyesal tanya.Hahahah..

So hari ni kita nak ajar macam mana nak buat popcorn perisa caramel. 

Sebelum tu jom tengaok bahan-bahan unmtuk buat Popcorn Perisa Caramel yang rangup sedap dan paling mudah.

Bahan-Bahan

2 genggam biji jagung
1 sudu majerin/ butter

caremal
3 sudu besar gula
2 sudu  majerin


Cara-Caranya:

1-Dengan api sederhana besar panaskan majerin dalam kuali atau periuk.Korang boleh masuk kan sedikit pewarna yang korang suka. saya masuk kan warna biru..

2- Pastikan kuali atau periuk tu ada penutup .Bila majerin dah cair masuk kan biji jagung.Kemudian tutup kuali atau periuk .


resepi popcorn rangup, sedap dan mudah

3- Kuali kena betul-betul panas..kalau tidak lambat la jagung tu nak meletop.

Ye!!jagung akan meletop-letop masa dia terbuka.Jadi sebab tu kita kena pastikan kuali di tutup.Masa tu boleh dengar la bunyi jagung tu melompat2 dalam kuali .

4- Bila bunyi meletop tu dah habis boleh la tutup api dan pindahkan popcorn ke dalam bekas lain.

Sekarang kita nak buat caramelnya pula.

5- Dalam periuk atau kuali yang sama masuk kan gula bersama majerin. dengan api perlahan masak hingga gula cair.

Mungkin ambil masa lama sikit sebab kita guna api perlahan je.

Korang boleh juga kalau nak buat caremal ni dengan mula kan dulu buat gula hangus tapi saya tak mahir buat gula hangus sebab selalu terlupa dan sudahnya gula jadi hangus.Kalau gula hangus rasanya nanti akan jadi pahit dan dah tak sedap.

6 - Bila gula dan majerin dah cair, tutup api dan boleh la masuk kan popcorn dan gaul sebati.Hati2 jangan sampai caramel tu terkena jari..sakit tau..Dah banyak kali jari saya melecur sebab kena caramel .heheh


resepi popcorn rangup, sedap dan mudah

Macam ni lah rupa popcorn yang sudah siap disalut caramel. Gambar diatas ni saya da masuk kan sedikit pewarna biru..dan popcorn di bawah ni yang tak letak apa-apa pewarna.

resepi popcorn rangup, sedap dan mudah

Ada orang kata masa langkah  no 1 tu korang boleh letak kan soda bikarbonat untuk buat popcorn lebih rangup.Tapi yang saya buat ni tak payah letak soda bikarbonat pun dah cukup rangup.

Tapi kalau korang nak try letak boleh je cuba..Tak rugi pun . 

selamat mencuba.

Sunday, 25 February 2018

RESEPI CEKODOK PISANG YANG LEMBUT, GEBU , DAN SEDAP



Memandangkan buah pisang memang selalu ada kat rumah ni  jadi tak de masalah untuk buat kuih muih yang berasaskan pisang. Selalunya cekodok pisang adalah pilihan utama sebab anak saya memang suka cekodok pisang lagi-lagi cekodok pisang yang lembut dan gebu.

Petang-petang biasanya anak anak lebih suka kan kuih yang simple dan tak berat sangat. Kalau tak de kuih cukup la setakat goreng keropok. 

Tapi kalau ada pisang diaorang prefer kuih cekodok, pisang goreng atau pun kek pisang.Tengok la sampai bila diaorang nak jemu tu nanti.. Lama2 nanti pandai la dioarang minta benda lain pulak.hahah..

Saya gunakan macam-macam jenis pisang  untuk buat cekodok, kek pisang, lepas , atau kek pisang. Untuk kali ni saya gunakan pisang berangan.

Kalau pisang mas lagi sedap tapi susah nak jumpa pisang emas dan harganya pun mahal sikit la dari pisang berangan ni. Sebelum ni saya ada kongsikan resepi cekodok pisang yang sedap menggunakan pisang Raja. Boleh check resepinya nanti..

Untuk resepi cekodok pisang yang lembut dan gembu ni saya gunakan sesikat pisang. Ada dalam 18- 20 biji. Tepung tak boleh lebih sebab nanti takut cekodok jadi keras. .Dalam adunan ni saya langsung tak letak kan air.

Pisang tu dah cukup lembik dah jadi kalau letak air nanti tak gebu pulak..kan??Kalau ada yang pernah letak air dan cekodok tetap gebu boleh la share kat komen bawah ni.. Boleh la saya cuba buat jugak nanti.


Jom kita tengok resepi dan cara buat cekodok pisang yang lembut. gebu dan sedap . Bahan-bahan nya pun tak banyak dan cara membuatnya pun mudah sangat-sangat.

Bahan-bahan:

1 sikat pisang berangan ( 18- 20 biji )
2 sudu besar gula
secubit garam
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
Minyak untuk menggoreng

Cara-Caranya..

Lecek pisang sampai hancur. Masuk kan gula , baking powder dan soda bikarbonat. kacau sekejap sampai sedikit berbuih.

Masuk kan tepung dan secubit garam. Kacau sebari sampai adunan jadi macam kat bawah ni.


Tak lembik sangat dan tak keras sangat..Agak2 boleh di jemput dengan jari tu dah cantik sangat dah tu..

Biarkan adunan dalam 10-15 minit. Kemudian panaskan minyak.Goreng dengan minyak yang banyak.Gunakan api yang kecil je.


Bila cekodok dah hitam2 manis, macam ni boleh la diangkat dan tos minyak nya.  Memang sedap cekodok ni bila dihidangkan di waktu petang..Tambah2 musim hujan sekarang ni memang layan la hidang cekodok pisang dengan kopi o..

Resepi Cekodok pisang ni bila kita goreng otomatik dia jadi bulat cantik je. Mungkin sebab adanya baking powder bersama soda bikarbonat tu.

Adunan tu kalau tak habis goreng boleh simpan dalam peti sejuk tau..Esok pagi kalau goreng dia tetap gebu dan lembut.

Selamat mencuba resepi cekodok pisang yang lembut , gebu dan sedap

sekian..

Wednesday, 21 February 2018

12 GAMBAR MASAKAN DARI INSTGRAM SAYA



Jom kita tengok gambar-gambar masakan saya.Selalunya post dekat instagram je. Tapi hari ni nak kongsikan juga dengan pembaca blog saya.

Bagi yang nak follow saya di instagram boleh la follow lepas ni ok..

Sejak saya  diet untuk kuruskan badan ni dah jarang2 sikit memasak.Anak-anak saya bukan kaki makan jadi bila nak masak tu kena pastikan ada orang nak makan.Kalau tidak kena sedekah kat jiran-jiran je la.

Ada sebahagian dari gambar-gambar ni saya dah kongsikan di blog beserta dengan resepinya sekali.














Nampak sedap-sedap je semua ni..kan?? malaysia memang kaya dengan berbagai jenis masakan yang sedap dan unik.Sebab kat negara kita ni ada berbagai kaum, bangsa dan agama jadi tak hairan la kita boleh jumpa macam-macam masakan kat negara kita ni..

Jangan tak tahu ramai lagi rakyat Malaysia ni yang tak kenal sesetengah masakan yang memang berasal dari Malaysia ni tau..

Agaknya sebab tu ramai orang Malaysia yang susah nak turunkan berat badan.salah seorang nya dah tentu lah saya sendiri..heheheh


sekian..

Saturday, 3 February 2018

RESEPI IKAN KEMBUNG MASAK LEMAK CILI PADI BERSAMA BELIMBING BULUH

Ikan.kembung masak lemak cili padi


RESEPI IKAN KEMBUNG MASAK LEMAK CILI PADI BERSAMA BELIMBING BULUH Rezeki minggu lepas dapat belimbing buluh dan bunga kantan ni.Alhamdulillah..Kawan tempat kerja suami yang bagi.Bila dapat benda yang jarang-jarang dapat macam-macam benda nak di masak.Kalau dapat buat Belimbing buluh masak lemak cili padi ni memang best la..Sebelum tu terfikir juga nak buat sambal hitam tapi rasa macam sikit sangat nak habiskan gas rebus belimbing berjam-jam.Hahhaah... Alang-alang nak merebus biar lah 4,5 kilo bilimbing..Nampak tak tamak nya tu???hahha..

Anak-anak saya memang gemar masak lemak cili padi . Boleh makan bertambah-tambah . Tapi makan kuah nya saja..Benda lain kalau dimasuk kan diaorang akan makan kuahnya saja.Tak pe la..Biar ibu dan ayah yang makan.:p

Ada orang tak reti nak makan belimbing buluh ni kalau di masak kan apa-apa.tapi saya memang suka la..Kari ikan pun saya masuk kan belimbing buluh.Peghh...sedap tau.

Cara nak makan belimbing buluh yang di masak ni senang je.Contoh nya belimbing buluh yang dibuat masak lemak cili padi ni. Dah cedok nasi, ambil lauk , sayur bagai , cedok la kuah masak lemak ni..lepas tu cedok juga sebiji belimbing buluh. Masa nak makan picit2 sikit belimbing buluh dalam nasik kita. Lepas tu makan la.. Jangan di gigit sebijik2 pulak belimbing tu..Memang rasa masam la..hahahah.

Ok..paham??nak cuba makan??Jom kita masak dulu..Ini dia Resepi Ikan kembung masak lemak cili padi bersama belimbing buluh.

Bahan-Bahan :

3 ekor ikan kembung (siang ikan dan bersihkan)
10 biji belimbing buluh
1 biji tomato  - potong 4
5-10  tangkai cili padi.*  (kurangkan kalau tak suka pedas)
5 biji Bawang merah *
3 ulas Bawang putih*
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 batang serai
1 cawan santan
Garam


Cara-caranya:

Kisar bahan bertanda *  titik serai ...

Campurkan semua bahan ke dalam periuk kecuali santan.
Masak hingga mendidih dan kemudian masuk kan garam.
Akhir sekali masuk kan santan dan tomato.
Kacau sekejap dan tutup api.
Jangan sampai santan mendidih sebab kita tak nak santan tu berketul.

Ikan masak lemak cili padi dengan belimbing bukuh

Dah siap..boleh la di hidangkan dengan nasi .

Senang je kan?? Klau tak nak masuk kan tomato pun tak pe..Tapi saya masuk kan sebab nak juga anak dapat khasiat dari sayur..Anak2 saya ni tak berapa suka makan sayur. Jadi kita masuk kan lah tomato semoga jus2 tomato tu ada dalam ikan masak lemak  cili padi bersama belimbing buluh nih..ahahhaha..

Selamat mencuba..


sekian..




Tuesday, 30 January 2018

RESEPI MUDAH DAN SEDAP - PENGAT LABU PALING SEDAP

RESEPI MUDAH DAN SEDAP - PENGAT LABU PALING SEDAP Baru-baru ni mak di kampung bagi saya sebiji labu .Kata mak labu jenis panjang ni sedap kalau buat pengat labu. Labu yang  jenis panjang bukan jenis bulat tu..Lupa pulak nak ambil gambar labu tu ... Selalunya makan labu yang jenis bulat tapi kali ni dapat labu panjang pulak..Alhamdulillah..saya ni memang suka makan labu.

Saya pernah kongsikan resepi labu masak lemak sebelum ni.Boleh singgah dan mencuba resepi tu kalau korang pun peminat labu macam saya. :0

resepi pengat labu paling sedap

Kalau labu bulat tu boleh la bahagi dua . Sebelah buat pengat sebelah lagi buat masak lemak labu..Kan??Tapi sebab ni labu panjang, dan saiz nya tak besar kita fikir2 juga la nak masak apa..Mula-mula nak buat kek labu tapi tengok bahan kena letak susu tepung..Rumah saya ni bertahun dah tak minum susu tepung..hahahah

Kemudian terfikir nak buat bingka labu pulak.Padahal saya bukan penggemar bingka.So kita buat pengat labu je la..

Terus pesan kat suami , nak balik kerja nanti belikan sagu.Letak sagu lagi la best..Cara saya buat pengat labu ni mudah je.Labu ni pulak buah yang jenis cepat lembut.Lagi la senang nak membuat nya.

Yang tak boleh makan labu boleh la gantikan dengan benda lain seperti keledek, ubi kayu, pisang atau pun  nangka 

Cerita panjang pun tak guna kalau tak bagi resepi..kan??Ini dia resepi Pengat Labu - Resepi mudah dan sedap.




resepi pengat labu paling sedap

Bahan-bahan untuk Resepi Pengat Labu 


1 biji labu saiz sederhana
2 ketul gula kabung saiz sederhana
sedikit garam
sedikit kapur makan
1 helai daun pandan
2 sudu besar sagu.- basuh dan toskan.
1 cawan santan pekat campur dengan 1 cawan air.
1 cawan santan pekat (tak letak pun tak pe.



** kepekatan santan tu terserah la pada korang . saya sediakan 2 santan.satu santan yang dicampur dengan air, untuk dimasuk kan dalam labu ketika memasak,.Dan satu lagi santan pekat saya masuk kan 1 sudu ke dalam mangkuk semasa nak makan. Macam dalam gambar tau..


Cara-cara memasak pengat labu yang sedap


1- potong labu dan bersih kan.kemudian rendam labu bersama sedikit kapur makan selama 1 jam untuk buat labu tak hancur masa merebus.

selepas 1 jam tos kan labu dan masuk kan dalam periuk bersama 2 cawan air. Rebus sekejap sampai labu lembut (bukan hancur)

2- dalam periuk lain masuk kan 1 cawan air , gula kabung dan daun pandan yang di simpulkan.Masak sampai gula kabung cair.Tambah 1 cawan air lagi dan masuk kan sagu.Masak sampai sagu mengembang.

3- Masuk kan sedikit garam dan santan yang dicampur dengan 1 cawan air..kacau sampai santan masak.

4- masuk kan labu.. dan masak sekejap kemudian tutup api.Tak paayh tunggu mendidih pun.Tutup periuk kejap dama 15 minit boleh la dihidangkan.

5- masa nak makan senduk kan sikit santan pekat ke dalam pengat labu . yang ni tak letak pun tak pe kalau rasa dan cukup berlemak pengat labu korang tu.Tapi saya memang suka ,makan pengat atau bubur dengan cara macam ni.. 

resepi pengat labu paling sedap

Ada yang tak suka santan banyak tak payah la letak santan pekat masa nak makan tu.. Kadang2 kalau masak pengat saya tak letak kan santan pun masa memasak.

Saya masak guna air je.Bila dah mendidih terus tutup api..Nak makan nanti baru masuk kan santan..Tu citarasa masing-masing..Korang boleh cuba kalau nak. lagi rasa sedap tau..

selamat mencuba dan semoga resepi pengat labu ni bermanfaat untuk korang dan yang tersayang..


sekian..


Monday, 29 January 2018

8 CARA MUDAH UNTUK BUAT MEE SEGERA LEBIH SEDAP

Assalamualaikum..



10 CARA MUDAH UNTUK BUAT MEE SEGERA LEBIH SEDAP Walaupun ramai yang kata mee segera adalah makanan yang tidak menyihatkan namun ramai yang menjadikan mee segera sebagai salah satu makanan yang wajib ada di rumah atau pun dalam bilik.Teringat pulak zaman bujang dulu mee segera ni wajib ada tau.Mee segera lebih sedap bila dimakan beramai-ramai..kan??

Tapi masa tu kalau malas nak masak mee segera , kita rendam dengan air panas je.Hehhe..Macam tu pun boleh habis sampai menjilat jari tau.

Mee segera ni mudah di masak dan tak memerlukan bahan lain untuk mengyediakan nya.Tapi kalau korang rajin korang boleh dapat makan mee segera yang lebih sedap .

Hari ni saya akan kongsikan beberapa cara mudah untuk membuatkan mee segera jadi lebih sedap.



1- Pecah kan telur ke dalam mee segera yang sedang di masak.Kemudian biarkan telur tersebut masak sempurna atau pun separuh masak. Tak payah hancur-hancur kan telur tu,. Kalau hancur kan telur tu mungkin kita akan rasa muak dan cepat kenyang.



2- Masuk kan sayur. Saya paling suka masuk kan sayur sawi atau kangkung ke dalam mee segera . Boleh juga masuk kan sayur yang cepat empuk seperti tomato atau pun lobak.

3- Pedas.... Bagi tekak melayu macam saya dan kebanyakan orang melayu lain, mee segera haruslah pedas . Kalau dapat tergigit cili tu ianya adalah satu kepuasan. Korang boleh hiris kan cili padi ke dalam mee segera yang sedang di masak.

Kalau nak lebih mudah taburkan chili flakes ke dalam mee segera sebelum di makan.

4- Tahu tak cheddar cheese akan buat mee segera lebih sedap dan menyelerakan?? Jika tidak ada cheddar cheese boleh juga masuk kan serbuk cheese.bau nya saja dah boleh buat selera terbuka.

5- Perahan limau mampu membangkitkan selera ,jadi apa kata cuba letak kan perahan limau  ke dalam mee segera yang sudah dimasak. Rasa masam-masam pada mee segera akan mengurangkan rasa muak makan mee segera.

6- Ayam atau udang mampu mengubah rasa mee segera yang biasa kepada rasa yang luar biasa.Sekarang ni pun kalau di lihat ada restoran-restoran yang menghidang kan mee segera yang di masuk kan ketam, udang, dan berbagai makanan laut.Bagi yang ada alahan pada makanan laut boleh juga masuk kan ayam atau pun daging.Rasanya pasti kan takan mengecewakan.



7- Nak kan rasa mee segera yang lebih sedap dan unik boleh la cuba masuk kan santan ke dalam mee segera.Ianya akan buat kuah mee segera lebih berkrim dan rasa berlemak.

8- Makan mee segera bersama nasi ianya bukan perkara baru tapi tak ramai yang berani mencuba nya.Makan mee segera bersama nasi juga akan buat kita cepat kenyang.Tak payah ada lauk dan sayur lain.Mee segera dan nasik je dah boleh buat kita kenyang sampai malam..

Ok..tu je tips sedap untuk mee segera.. Selamat mencuba..


sekian..

Thursday, 25 January 2018

RESEPI KEK PISANG LEMBUT DAN GEBU


resepi kek pisang lembut dan gebu


RESEPI KEK PISANG LEMBUT DAN GEBU Minggu lepas dalam hujan lebat anak-anak ajak ke pasar malam.Nak kena juga bagi budak-budak ni rasa macam mana berjalan dalam hujan.Selagi tak rasa selagi tu la tak serik.Terus teringat sampai pasar malam nanti nak beli pisang sebab nak buat kek pisang yang lembut dan gebu.Resepi Kek pisang memang dah sedia ada.Mikhail suka kek pisang jadi cadangnya nak beli pisang emas .

Sebenarnya pasar malam tak la jauh pun..tepi rumah saya je.. Sebab tu anak-anak ajak.Dah terbau ayam goreng la, nuget la, apam balik, tu yang masing2 ajak jugak ke pasar malam.

Baru sampai kat tempat jual jagung masing2 dah ajak balik.HAhahaha...Tahu pun betapa siksa berjalan dalam hujan.Dengan nak kena pegang payung lagi..Nak kena mengelak lopak air, dengan angin kuat yang dah tempiaskan air hujan kat muka diaorang.Terus Mikhail kata.."ibu jom la balik..adik takut"

Huh!!lega..ingatkan berani sangat..harap lepas ni kalau hujan je diaorang tak ajak dah ke pasar malam.

Sempat lagi singgah ke satu gerai jual pisang ni.Angin kuat bertiup sampai terpelanting payung pakcik tu..Lagi seram la budak dua orang ni tengok..Si Kakak kata..

"tak pe la ibu..kakak jalan balik dulu la.."hahaha.

Berjaya beli sesikat pisang emas yang kita nak dengan harga hanya RM2.80 . Dalam satu ikat tu ada lah dalam 10 biji.Cukup la untuk buat kek pisang kita nanti.

Jom kita tengok resepi kek pisang lembut dan gebu ..

Bahan-bahan:

 1 ikat pisang (10 biji)
3 biji telur (A)
1 cawan gula halus
2 cawan tepung gandum
1 cawan minyak masak
1 sudu baking powder
1 sudu soda bikarbonat


Cara-Cara Nya:

*Panas kan oven.
Sapu loyang dengan mentega atau majerin .lapik dengan kertas baking dan sapu lagi mentaga atau majerin ..ketepi kan.

1- Ayak tepung dengan baking powder dan ketepikan.

2- Dalam satu bekas lain  lecek pisang hinggar hancur.Jangan blend sebab nanti tak de urat2 pisang tu..Tak cantik.lecek guna senduk atau gelas je.

3- Kemudian masuk kan 1 sudu soda bikarbonat ke dalam pisang..lecek lagi sampai sedikit berbuih.Ketepikan..

4- Dalam bekas lain pukul telur dan gula sampai kembang dan jadi warna putih.

5- Lepas tu masuk kan minyak masak. kacau sebati.

6- Masuk kan pisang yang dah di lecek tadi.kacau sebati guna senduk je.

7- Masuk kan tepung yang dah diayak tadi.kacau lagi sampai sebati.

8- Masuk kan dalam loyang dan kemudian bakar dengan suhu 180 selama 40 minit  (ikut kesesuain oven masing-masing)



resepi kek pisang lembut dan gebu

Bila dah masak sejuk kan dulu sebelum potong.Kalau potong masa panas kurang cantik sebab urat2 hitam tu tak jelas .Bila dah sejuk jadi cantik dan nampak la kek ni kek pisang.

Macam mana??Senang..kan??Boleh dibuat untuk makan petang dan sebagai jamuan . Kek pisang ni kalau tak masuk kan dalam peti sejuk boleh tahan 3 hari kat luar.Kalau letak dalam peti sejuk memang kurang sedap la.

kek pisang ni memang lembab  dan gebu.Ramai yang tak suka kek pisang yang kering..kan??nak makan pun kena sulam dengan air masak.Hahahha..tercekik sampai tersedak gara-gara kek pisang yang kering.

Saya gunakan loyang saiz 8x8 . Kalau nak guna loyang yang lebih besar boleh tambah kuantiti bahan..

Semoga resepi kek pisang lembut dan gebu ni bermanfaat untuk korang.Jangan lupa tekan butang share untuk berkongsi resepi mudah ni bersama yang rakan-rakan lain.


sekian..


Tuesday, 23 January 2018

RESEPI AYAM GORENG BEREMPAH YANG SIMPLE DAN SEDAP

Assalamualaikum..

Resepi ayam goreng berempah





RESEPI AYAM GORENG BEREMPAH YANG SIMPLE DAN SEDAP Ayam berempah ada macam-macam versi.Ada yang tak pakai rempah yang dibeli tapi di kisar sendiri sampai halus dan mudah di goreng.Ada juga Ayam berempah yang menggunakan tepung jagung dan ada juga yang hanya di goreng menggunakan rempah tanpa sebarang tepung dimasuk kan.

Ayam goreng berempah versi saya pulak menggunakan tepung beras dan sedikit tepung gandum.Kuantiti tepung beras lebih banyak dari tepung gandum.

Baru-baru ni balik kampung dan ada banyak sangat ayam dalam peti sejuk mak saya . Kalau tak dimasak ayam tu memang sikit hari lagi rosak la jawab nya.Jadi kita buat keputusan untuk buat ayam goreng berempah.

Kalau goreng garam kunyit saja memang tak laku la ayam tu nampaknya..kan??Mak saya ni bukan memasak pun kat rumah.Duduk kat kampung dijaga dua anak lelaki yang  keluar bekerja gelap balik pun dah gelap. Jadi diaorang lebih banyak membeli dari memasak. So harap maklum la bahan maemasak bukan serba lengkap. Dalam resepi ni pun saya masuk kan apa yang ada je..Tapi tetap sedap dan menyelerakan..

ayam goreng berempah petola masak air dan sambal belacan

Ayam goreng berempah ni saya suka makan dengan kuah yang simple je macam Petola masak air ni.Ada pulak pucuk ubi dan sambal belacan lagi la makan bertambah-tambah.

Tapi kalau yang selera mamak tu boleh la makan dengan nasi beriani , acar timun nenas dan juga daging masak hitam.


Jom saya kongsi kan resepi ayam goreng berempah yang simple tapi sedap.

Bahan-bahan untuk Resepi Ayam Goreng Berempah .


1 Ekor ayam - potong ikut saiz yang korang suka dan bersihkan.tos kan ayam supaya air tak bertakung nanti.

Bahan A
5 sudu besar tepung beras
1 sudu besar tepung gandum
3 sudu besar rempah daging
2 sudu besar rempah ikan
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk kunyit
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula
1 sudu besar garam
2 tangkai daun kari


Bahan Kisar :

1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 batang serai
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih

Minyak untuk menggoreng


Cara-Cara membuat Ayam goreng Berempah yang simple dan sedap.

1- Panaskan minyak dengan api sederhana. Gunakan minyak yang banyak.

2- Masuk kan ayam dalam satu bekas besar.Kemudian masuk kan Bahan-bahan A.

3-kemudian masuk kan Bahan Kisar .

4- Gaul ayam bersama bahan-bahan tadi sampai sebati.

5- Bila minyak dah panas , goreng ayam tu.. Kalau nak goreng ayam kena minyak betul2 panas dan bila masuk kan ayam tu, ayam tenggelam sebenuh nya.Baru lah ayam masak dengan cantik.


6- Bila dah warna perang2 gelap tu maknanya ayam dah masak dan boleh la dihidang kan.

Resepi ayam goreng berempahUntuk lebih sedap lagi korang boleh perap dulu ayam lepas dimasuk kan semua bahan-bahan tu selama 30-45 minit.

Bagi yang dah jemu dengan ayam goreng kunyit tu boleh la cuba resepi ni.Ayam goreng berempah ni ikut tekak kita je,,Suka hati je nak masuk kan apa yang penting asas nya ialah ada rempah. tu.

Selamat mencuba resepi Ayam Goreng Berempah yang Simple dan Sedap ni..


sekian..