Advertisement

SEKOLAH DITUTUP DARI 9 NOVEMBER SEHINGGA HARI AKHIR PERSEKOLAHAN TAHUN 2020

SEKOLAH DITUTUP DARI 9 NOVEMBER SEHINGGA HARI AKHIR PERSEKOLAHAN TAHUN 2020 | Tahun ini adalah tahun yang sangat mencabar bagi seluruh dunia, termasuk juga negara kita yang begitu terkesan dengan pandemik COVID-19. Keadaan pada masa ini merupakan satu situasi yang sukar kepada semua dan perlu kita harungi bersama. Tambahan pula, dalam situasi negara menghadapi gelombang ketiga pandemik COVID-19 dengan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi, KPM memerlukan pendekatan yang berbeza dan ada kalanya pendekatan tersebut adalah luar daripada kebiasaan. 


3. Dalam hal ini, setiap perancangan atau keputusan yang dibuat perlu diperhalusi dan diteliti kerana kesan pandemik COVID-19 kepada sektor pendidikan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan yang begitu besar jumlahnya, merangkumi lebih 5 juta orang murid dan pelajar serta lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan warga KPM. Namun, dalam apa jua pendekatan dan keputusan yang diambil, KPM sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan semua murid, guru, pensyarah dan warga KPM. 

 

4. KPM mengambil maklum pengumuman oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan pada 7 November 2020 berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali negeri Kelantan, Pahang dan Perlis. Tempoh PKPB ini adalah selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020. Manakala PKPB di Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan turut dilanjutkan sehingga tarikh tersebut. 

 SEKOLAH DI TUTUP SEHINGGA HARI AKHIR PERSEKOLAHAN 2020

5. Mengambil kira pengumuman tersebut serta takwim persekolahan tahun 2020, KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B. Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM.  

6. Oleh yang demikian, KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah di negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B. Langkah ini diambil bagi membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak COVID-19.  

 

7. Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.  Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing. 

 

8. Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga. Di sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.

TARIKH SEKOLAH DIBUKA UNTUK SEISI 2021

9. Sepertimana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut. Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama. Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.  

 TARIKH PEPERIKSAAN DIPINDA 

10. Tentunya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)  tahun 2020 tertanya-tanya sama ada perkembangan situasi ketika ini memberi kesan kepada mereka? 

 

11. Mengambil kira situasi semasa, KPM telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut. Peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021. Manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021. Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat. 


12. Bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan bahawa mereka akan 

menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masingmasing mulai 20 Januari 2021. KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah. 

 

13. Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini. 

 

14. Terdapat persoalan yang telah dibangkitkan mengenai kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Di Raja. Untuk makluman, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

 

15. Selain daripada itu, terdapat juga pertanyaan berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020 yang masih belum diselesaikan. KPM akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut dan akan dimaklumkan kemudian. 

16. Terdapat juga pertanyaan berkaitan dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021. Untuk makluman, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi  pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 
 

Pengoperasian Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) 

 
17. Bagi pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.  
 
 
18. Pelajar Program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021. Ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun 2021. 
 
19. Bagi pelajar IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022. Pelajar IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Januari 2021. 
 
20. Dalam mendepani cabaran pada masa ini, kami memohon jasa baik dan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama mendukung usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KPM. Yakinlah bahawa setiap langkah yang diatur KPM adalah bagi memastikan generasi masa depan negara mendapat pendidikan yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar.  
 
21. Saya juga ingin menyeru kepada semua warga KPM, ibu bapa dan penjaga agar terus mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak COVID-19. 
 
22. Marilah kita doakan agar keadaan kembali pulih dan pembelajaran anak-anak kita untuk sesi akan datang dapat diteruskan dalam keadaan selamat. 
 
Sekian, terima kasih. 
 
Kementerian Pendidikan Malaysia 
8 November 2020 


 

 


Catat Komen

5 Ulasan

  1. seram jgk kes covid ni.. makin banyak aktiviti yg terpaksa ditutup..
    semoga 2021 ada sinar dan harapan yg baru untuk kita semua..inshaAllah

    BalasPadam
  2. Kesian dekat student sbb terganggu pelajaran. Belajar dalam kelas dgn online tak sama. Tapi takpelah mungkin ada hikmah. Semoga tahun depan kita semua bebas Covid19 Aaminn

    BalasPadam
  3. segalanya sudah tak normal perjalanan pembelajaran anak-anak, sama-sama kita berdoa semoga semua ini adalah sementara dan kembalikan kepada kehidupan kita yang seperti sebelumnya, aamiin.

    BalasPadam
  4. kena peka dengan sebarang perubahan tarikh persekolahan.
    nak home based learning memang agak sukar.
    macam anak kak pip sekolah cina, memang bila kita mengajar ambil masa juga untuk translate tulisan cina tu ...

    BalasPadam
  5. Tahun ni macam macam yang kita tak jangka. Harap tahun depan tak berterusan begini.

    BalasPadam

sila tinggalkan komen anda...:)