Advertisement

KRONOLOGI HELIKOPTER TERHEMPAS DI TAMAN MELAWATI

KRONOLOGI HELIKOPTER TERHEMPAS DI TAMAN MELAWATI | KUALA LUMPUR: Satu insiden pelanggaran antara dua helikopter pagi tadi di Taman Melawati, Ampang telah menggegarkan negara.

Dua mangsa dilaporkan terkorban dan dua lagi selamat.



Berikut merupakan kronologi kejadian sehingga Ahad malam:

12.01 pm: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terima panggilan kecemasan dari orang awam yang mendakwa terlihat sebuah helikopter ringan terhempas di Taman Melawati, Ampang, sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis ketika dihubungi Astro AWANI, mengesahkan kejadian tersebut.

12.30 pm: Pengamal media mula berkumpul untuk membuat liputan. Laporan media menyebut kawasan tersebut telah ditutup kepada orang awam bagi memudahkan proses siasatan dan menyelamat mangsa.

Turut kelihatan meninjau lokasi kejadian ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Azmin Ali.

1.07 pm: Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengesahkan dua mangsa maut dalam nahas melibatkan dua helikopter itu.

1.30 pm: Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak mengesahkan identiti mangsa yang terkorban sebagai Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi dan Mohd Sabri Baharom.

Dua lagi yang menaiki helikopter berasingan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Datuk Ahmad Jauhari Yahya, dan Wendy Tan Chai Elan, dan berada dalam keadaan stabil.

Kedua-dua helikopter berkenaan adalah jenis Guimbal Cabri G2 dengan nombor pendaftaran 9M-HCA dan 9M-HCB, dan didaftarkan di bawah MY Heli Club.

Beliau berkata kedua-dua helikopter berlanggar di ruang udara menyebabkan ia hilang kawalan.

Memandangkan ia adalah insiden udara, Mohamad Farouk berkata, polis menyerahkan siasatan penuh kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).



2.20 pm: Media melaporkan kedua-dua mayat berjaya dikeluarkan dari bangkai helikopter tersebut, dan dibawa ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz untuk proses bedah siasat.

2.30 pm: Beberapa saksi yang berada di kawasan berhampiran memberitahu media mereka mendengar dentuman yang kuat di ruang udara.

Beberapa gambar dan video yang mereka rakam tular di media sosial.

2.30 pm: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) telah diaktifkan untuk membantu dalam usaha pengkoordinasian operasi menyelamat tersebut.

Beliau turut mengarahkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) untuk menyiasat dan menyediakan laporan berdasarkan Annex 13 Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

Laporan harus selesai dalam tempoh 30 hari bermula semalam (9/11/2020)



4 pm: Abang kepada Allahyarham Mohamad Irfan Fikri, Dr Izani Mohd Izani berkata keluarganya mendapat maklumat awal mengenai insiden tersebut dari notifikasi dan laporan awal Astro AWANI.

Ujarnya lagi, beliau dan ahli keluarga membuat pengecaman awal melalui gambar yang tular, berdasarkan jam tangan yang dipakai mangsa.

4.24 pm: Mayat Mohamad Irfan Fikri dan Mohd Sabri tiba di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras.

5.35 pm: Media melaporkan bangkai helikopter yang dinaiki mangsa telah dileraikan dan akan dibawa ke tempat lain untuk siasatan lanjut.

6 pm: Abang kepada Allahyarham Mohamad Irfan Fikri, Dr Izani Mohd Izani memberitahu mayat adiknya akan dibedah siasat esok.

Beliau berkata pihak hospital memaklumkan kepadanya bahawa mereka perlu melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas mangsa, selaras dengan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati

6:22 pm: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter yang berlaku di Taman Melawati dekat sini hari ini.

Muhyiddin dalam hantaran Facebook beliau berharap keluarga mangsa tabah dalam menghadapi ujian itu.



6.23 pm: Polis memaklumkan kepada media bawah bangkai helikopter terlibat dihantar ke Systematic Aviation Services (SAS) Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk BSKU lakukan siasatan lanjut.

Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai Laporan Kematian Mengejut.

6.30 pm: Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak mengesahkan sudah mengambil keterangan Datuk Ahmad Jauhari Yahya serta beberapa saksi lain.

7:33 pm: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesahkan menerima dua jenazah lelaki berumur 56 dan 41 tahun pada jam 4.30 petang.

HCTM akan menguruskan kedua-dua jenazah tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu menjalankan ujian saringan COVID-19 Rapid Antigen serta ujian Radiologi (X-Ray dan CT Scan) bagi mengenal pasti kecederaan dalaman yang dialami.

Bedah siasat terhadap jenazah akan dilaksanakan pada 9 November 2020 (Isnin). Jenazah akan diserahkan kepada waris setelah selesai bedah siasat untuk urusan pengebumian. SUMBER : AWANI


Catat Komen

5 Ulasan

  1. Datuk Ahmad Jauhari Yahya tu Ex CEO company SA kerja ni....syukur AJ selamat...

    BalasPadam
  2. Allahuakbar...kesiannya...moga Allah tempatkan arwah di kalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa dan matinya dalam melakukan ibadah atas urusan mencari rezeki...

    BalasPadam
  3. Innalillahiwainna ilaihirojiuuunnn...

    Salam takziah kpd keluarga magsa

    BalasPadam
  4. Allah kesiannya..malang tak berbau..

    BalasPadam
  5. Salam takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban

    BalasPadam

sila tinggalkan komen anda...:)