STATUS TERKINI NOVEL CORONAVIRUS - PERTAMBAHAN 1 KES MENJADIKAN 8 KES SETAKAT INI

KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA SITUASI TERKINI JANGKITAN 2019 NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCoV) DI MALAYSIA


STATUS TERKINI NOVEL CORONAVIRUS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) pertambahan kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di kalangan kontak rapat dilaporkan pada 30 Januari 2020. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun 2020 sehingga hari ini adalah sebanyak lapan (8) kes; iaitu terdiri daripada tiga (3) kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima (5) kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat. Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China.

Kes ke-8 terbaharu yang dilaporkan positif di kalangan kontak rapat ini adalah merupakan isteri kepada kes 2019-nCoV ke-7 yang sebelum ini telah dilaporkan di Johor pada 29 Januari 2020. Kes ke-8 ini adalah warganegara China berusia 49 tahun yang telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dari 10 Januari 2020 sehingga 29 Januari 2020, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 89 orang; di mana 44 orang adalah warganegara Malaysia, 42 orang warganegara China dan masing-masing satu (1) warganegara Jordan, Brazil dan Thailand. Tiga (3) kes PUI telah disahkan positif 2019-nCoV dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai (2) 2 dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi (1). Manakala itu, 81 kes PUI adalah negatif dan lima (5) masih menunggu keputusan makmal (Lampiran 1).

Sementara itu, seramai 32 orang kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV telah dikenalpasti dan kesemuanya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan serta dipantau rapi oleh KKM. Daripada jumlah ini, seramai lima (5) kes daripada kontak rapat ini telah disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh (4) dan Hospital Permai (1). Kesemua kes positif di kalangan kontak rapat ini berada dalam keadaan stabil. Manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lagi adalah didapati negatif jangkitan 2019-nCoV (Lampiran 1).




KKM sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak penyakit berjangkit dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik. Kapasiti dan kapabiliti sedia ada dipertingkatkan bagi menangani kejadian jangkitan 2019-nCoV ini sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Selain itu juga, bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, KKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah bekerjasama mengenalpasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari negara China.

Mereka yang telah dikenalpasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah (home surveillance) dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan Home Assessment Tool. Sekiranya mereka ini menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang telah dikenalpasti dengan segera.

Selain itu, KKM bekerjasama erat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang 78 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China. Semua mereka ini akan disaring, diambil sampel dan diletakkan di bawah pemantauan kesihatan selama 14 hari.



Sekiranya mereka menunjukkan gejala, mereka akan dirujuk ke hospital yang telah dikenalpasti dengan segera. Selain itu, orang awam dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan atau lawatan ke negara China di samping terus mengamalkan tahap kebersihan 3 yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, dan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke negara China.

Maklumkan juga mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat. Semua pengamal perubatan, sama ada dari fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta hendaklah segera melaporkan kes-kes yang disyaki 2019-nCoV dengan menggunakan kaedah pelaporan sedia ada kepada KKM.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia
30 Januari 2020

Post a comment

2 Comments

  1. Allahu. Moga kita semua dalam limpah rahmat Allah Taala dan dilindungi daripada wabak ni

    ReplyDelete
  2. Semoga kita dilindungi daripada wabah nCoV ni

    ReplyDelete

sila tinggalkan komen anda...:)